LIVERPOOL: Bos Liverpool, Jurgen Klopp dijangka meninggalkan Anfield jika kelab itu disingkirkan oleh Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara.
Itu pandangan penyampai Sky Sports, Richard Keys ekoran prestasi buruk Reds ketika ini, termasuk terperosok ke tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris, selain tersingkir dari Piala FA serta Piala Liga – dua kejohanan yang dijuarai mereka musim lalu.
Liverpool tewas tiga daripada empat aksi terakhir liga dengan membenarkan gawang mereka dibolosi tiga kali ketika menentang Brentford, Brighton dan Wolverhampton.
Prestasi buruk itu menimbulkan persoalan mengenai masa depan Klopp di Anfield, walaupun pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG) tidak bercadang memecat jurulatih Jerman itu dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Key percaya Klopp sendiri akan memutuskan untuk keluar dari Liverpool jika tersingkir dari Liga Juara-Juara.
“Saya rasa Klopp akan pergi. Bukan sekarang tetapi jika mereka disingkirkan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara.
“Liverpool sudah terlalu jauh dari yang kita bayangkan. Kejatuhan ini adalah tanggungjawab Klopp,” katanya.
Liverpool akan menentang juara Eropah 14 kali, Real, pasukan yang menewaskan dalam final Liga Juara-Juara musim lalu pada aksi pertama pusingan 16 akhir, 22 Februari ini. – AGENSI