Khairy menang Naib Presiden PKBM

Khairy menang Naib Presiden PKBM

KHAIRY Jamaluddin (kiri) bersama barisan kepemimpinan baharu PKBM penggal 2023-2026 selepas pemilihan di Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memenangi jawatan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selepas menduduki tempat kelima pada Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PKBM bagi Penggal 2023-2026 hari ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) menduduki tempat kelima dalam persaingan 10 penjuru selepas memperoleh 33 undi.

Khairy berkata, ini masa terbaik buatnya menumpukan sepenuh masa untuk berkhidmat dalam sukan berbasikal serta membantu PKBM.

“Mujur saya menang bertanding jawatan Naib Presiden PKBM dan sekarang adalah masanya untuk saya berkhidmat memajukan sukan berbasikal,” ujarnya ringkas selepas tamat pemilihan tersebut.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, penyandang jawatan itu Yunus Ibrahim dari Negeri Sembilan tewas mengejut kepada Mazlan Md. Jalil dari Terengganu dalam pertandingan dua penjuru.

Yunus hanya memperoleh 26 undi, manakala Mazlan pula mendapat 45 undi.

“Kemenangan ini sangat mengejutkan tetapi saya percaya ini adalah satu keputusan daripada semua perwakilan negeri. Saya anggap ini hari bertuah buat diri saya dan berjanji akan bekerjasama erat membantu Presiden PKBM (Datuk Abu Samah Abd Wahab),” katanya.

Sementara itu, tokoh berbasikal antarabangsa, Datuk Amarjit Singh meraih hampir 100 peratus undi untuk memenangi jawatan Naib Presiden 1 dengan memperoleh 71 daripada 72 undi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) terkejut dengan kejayaan meraih undi tertinggi daripada 10 calon yang bertanding jawatan tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan negeri yang memberi kepercayaan atas kebolehan saya untuk terus memberi sumbangan kepada PKBM.

“Saya sangat terharu dengan sokongan daripada semua perwakilan negeri kerana ini menunjukkan perwakilan negeri percaya saya boleh memberi sumbangan positif kepada sukan berbasikal,” ujarnya.

Selain Amarjit dan Khairy, tiga lagi calon yang menang jawatan Naib Presiden ialah Mohd. Shaiful Abd. Jalil dari Putrajaya muncul pemenang kedua tertinggi memperoleh 54 undi diikuti Dr. Zaim Ahmad dari Kedah (46) dan wakil dari Melaka yang juga anak kepada Presiden PKBM, Norazman Abu Samah (42) undi.

Sementara itu, Abu Samah yang mengekalkan jawatan Presiden PKBM buat penggal kesembilan berturut-turut selepas menang jawatan tersebut tanpa bertanding minggu lalu berkata, PKBM akan menganjurkan 76 kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk Jelajah Malaysia, Le Tour de Langkawi, Tour of Femina dan Tour of Peninsula.

“Saya ingin mengesahkan Jelajah Malaysia akan diadakan sebagaimana yang dirancang. Begitu juga dengan Le Tour de Langkawi,” ujarnya.

Beliau berharap Kejohanan Lumba Basikal Asia (Trek) 2023 (ACC 2023) yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan akan menjadi medan terbaik untuk jaguh negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang menyerlahkan kehebatannya sekali gus meraih lebih banyak mata pada kelayakan Sukan Olimpik 2024. – UTUSAN ONLINE

PRESIDEN: Datuk Abu Samah Abd Wahab (Menang tanpa bertanding)
TIMBALAN PRESIDEN: Mazlan Md. Jail (45 undi)
NAIB PRESIDEN 1: Datuk Amarjit Singh (71)
NAIB PRESIDEN 2: Mohd. Saiful Abd. Jalil (54)
NAIB PRESIDEN 3: Dr. Zaim Ahmad (46)
NAIB PRESIDEN 4: Norazman Abu Samah (42)
NAIB PRESIDEN 5: Khairy Jamaluddin (33)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya