JDT mampu kekalkan kuasa kali ke-10

JDT mampu kekalkan kuasa kali ke-10

JDT sekali lagi menjadi pilihan untuk menguasai Liga Malaysia musim 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir sedekad Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi Liga Malaysia (Liga M), de­ngan penstrukturan baharu liga, peminat bola sepak tempatan berharap ada pasukan lain akhirnya mampu mencabar Harimau Selatan.

Begitupun, melihat kepada prestasi musim lalu, selain persiapan pramusim, JDT yang menutup musim 2022 tanpa sebarang kekalahan, malah meninggalkan pencabar terdekat, Terengganu FC dengan kelebihan 12 mata kekal sebagai pilihan mempertahankan kejua­raan kali ke-10 berturut-turut.

JDT memegang sejarah sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya merangkul empat kejuaraan – Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim lalu.

Harimau Selatan juga satu-satu­nya kelab dari Malaysia yang akan ­bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023, sekali gus meletakkan mereka di tahap berbeza.

Sepanjang bergelar juara, cabaran paling sengit pernah dihadapi JDT sehingga perlu menunggu perlawanan terakhir adalah pada 2014 iaitu dicabar Selangor dengan perbezaan tiga mata, selain 2015, di mana Sri Pahang memaksa Harimau Selatan hanya memiliki kelebihan dua mata.

Begitupun, tahun-tahun berikutnya, laluan mereka amat mudah, selain hanya tewas sekali sepanjang bergelar juara.

Bukan mahu menindakkan kemampuan pasukan-pasukan lain, namun Harimau Selatan bimbingan Esteban Solari masih pasukan sama seperti dulu, sukar digugat.

Aksi Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC esok akan menjadi ujian pertama untuk melihat bagaimana Solari mencorak pasukannya.

Kelibat Juan Muniz, Endrick dos Santos, Diogo Luis Santo, Oscar Arribas dan Ahmad ­Syihan Hazmi Mohamed ­pas­tinya antara yang ­paling mencuri tumpuan.

Penjaring terbanyak musim lalu, Bergson Da Silva yang meledak meledak 41 gol daripada 31 perlawanan kekal mengetuai serangan, manakala Arif Aiman Hanapi bakal menjadi pilihan di sayap kanan.

Walaupun pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim cuba merendah diri dengan hanya ­menyasarkan kelompok tiga ­terbaik Liga Super, realitinya, mereka mampu melakar lebih daripada itu.

 

“Untuk musim ini kita ­menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik, manakala saingan Piala FA kita sasarkan layak ke suku akhir dan pada saingan Piala Malaysia pemain muda akan diberikan keutamaan untuk beraksi.

“Ia bagi memberi ruang kepada mereka mendapat minit permainan dan kita juga akan bersaingan di Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Kita cuba untuk melepasi saiingan peringkat kumpulan dan jika ada rezeki akan ma­suk ke suku akhir,” kata Tunku ­Ismail.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.