LONDON: Barisan bintang mahal Chelsea masih buntu untuk meraih kemenangan apabila mereka sekali lagi diaibkan di laman sendiri, kali ini giliran Southampton apabila tumpas dengan keputusan 0-1 di Stamford Bridge.
Sebelum sepak mula dijalankan, Chelsea sempat memberikan penghormatan terakhir untuk bekas pemainnya, Christian Atsu yang disahkan terkorban dalam kejadian gempa bumi di Turkiye awal bulan ini.
Sejurus wisel permainan dibunyikan, pelawat tampak lebih garang dengan beberapa kali mengasak gawang Chelsea yang dikawal Kepa Arrizabalaga.
Penguasaan penuh mereka dalam perlawanan ini akhirnya diterjemahkan menerusi sepakan percuma yang diambil James Ward-Prowse pada lewat babak pertama.
Jaringan Ward-Prowse itu hanya kurang satu gol sahaja lagi untuk menyamai rekod yang dipegang legenda Manchester United, David Beckham yang menjaringkan keseluruhan 18 gol dari situasi bola mati dalam saingan Liga Perdana Inggeris
Pengendali Chelsea, Graham Potter membuat beberapa pertukaran di babak kedua, antaranya memasukan Mykhailo Mudryk dan Kai Havertz, namun mereka gagal untuk memberikan impak yang diharapkan.
Jaringan Ward-Prwose itu kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memberikan tiga mata berharga untuk mereka yang kini bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran.
Bagi Chelsea, kali terakhir mereka berjaya merakamkan kemenangan adalah sebulan yang lalu, ketika menumpaskan Crystal Palace 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.