Ada pasukan belum terima ITC pemain import

Ada pasukan belum terima ITC pemain import

STUART RAMALINGAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan masih ada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) belum menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, situasi itu berlaku kerana ada pemain import yang masih dalam tempoh percubaan dengan pasukan masing-masing ketika ini.

Stuart berkata, tarikh tutup pendaftaran pertama pemain untuk musim 2023 adalah pada pukul 11.59 malam ini namun, beliau yakin semua pasukan tidak berdepan masalah untuk berbuat demikian.

“Liga semakin dekat untuk bermula dan kami berharap semua pasukan dapat melengkapkan pendaftaran pemain termasuk dalam soal dokumen dan ITC.

“Saya percaya semua pasukan akan melengkapkan proses pendaftaran pemain sebelum tarikh tutup iaitu pada 23 Februari (malam ini) pada pukul 11.59 malam.

“Saya rasa tiada isu berbangkit selain satu dua pasukan yang masih belum terima ITC pemain import atas sebab pemain inport itu masih dalam tempoh percubaan.

“Proses percubaan ini merupakan perkara biasa kerana setiap pasukan tidak mahu hadapi sebarang risiko,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian dengan AEON BiG (M) Sdn. Bhd. kelmarin.

AEON Big menjadi keluarga baharu Liga Malaysia.

Terdahulu Aeon Big yang diwakili Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed menjadi rakan kongsi ke-12 MFL dan akan menjadi penaja eksklusif Hipermarket untuk musim 2023.

Difahamkan, tempoh pendaftaran kedua pemain untuk Liga Super akan dibuka semula pada Jun bagi membolehkan proses pendaftaran dan pertukaran pemain.

Mengulas lanjut, Stuart berkata, tidak semua pasukan Liga Super akan melengkapkan kuota pengambilan sembilan pemain import pada musim ini selepas mengambil kira bajet dan kedudukan kewangan pasukan.

“Sama juga dengan musim lalu, tidak semua pasukan lengkap lima pemain import dan tidak bermakna semua pasukan juga akan lengkapkan senarai 32 pemain yang dibenarkan dalam pendaftaran.

“Ini semua (sembilan import) adalah peraturan lama dan apa yang berlaku di atas padang tidak berubah iaitu 3+1+1. Jurulatih boleh ambil import ikut keperluan dan kita benarkan sembilan tetapi tidak semua ambil peluang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN