Zii Jia jatuh dua anak tangga dalam ranking dunia

Zii Jia jatuh dua anak tangga dalam ranking dunia

LEE Zii Jia tidak menyertai program RTG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyingkiran awal dalam dua kejohanan berturut-turut menyaksikan perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia jatuh dua anak tangga ke tempat keempat dalam ranking terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Kedudukan Zii Jia, 24, yang sebelum ini menghuni tangga kedua dipintas oleh pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, manakala ranking senegara Anthony, Jonathan Christie naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga.

Jaguh Denmark, Viktor Axelsen yang menjuarai Terbuka Malaysia, dua minggu lalu sebelum bergelar naib juara Terbuka India kelmarin mengekalkan kedudukan No. 1 dunia.

Zii Jia yang berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lalu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia, kejohanan bertaraf Super 1000 dalam Jelajah Dunia selepas kalah mengejut kepada Kodai Naraoka dari Jepun 21-13, 17-21, 19-21.

Bekas juara All England itu kemudian dikejutkan oleh pemain China, Li Shi Feng 11-21, 21-14, 18-21 pada pusingan kedua Terbuka India, minggu lalu.

Sementara itu, nasib berbeza dialami beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih kedudukan tertinggi dalam karier mereka apabila naik satu anak tangga untuk berada di ranking kedua dunia.

Aaron-Wooi Yik yang tewas 21-14, 19-21, 18-21 kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chan dalam final Terbuka India kelmarin berada di belakang beregu Indonesia, Fajar Alfan-Muhamad Rian Ardianto yang kekal selaku gandingan nombor satu dunia.

Satu lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka India terkeluar daripada kelompok 10 terbaik apabila menghuni ranking ke-11, manakala beregu profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi  turun satu tangga ke kedudukan kesembilan dunia.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang mengalami penurunan ranking dua anak tangga minggu lalu, kembali menghuni tangga keenam dunia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya