Vietnam terselamat selepas seri tanpa jaringan dengan Indonesia

Vietnam terselamat di Gelora Bung Karno selepas lakar seri dengan Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pengendali Vietnam, Park Hang Seo ternyata lega selepas anak buahnya berjaya menyerap asakan bertali arus Indonesia sepanjang 90 minit aksi separuh akhir pertama Piala AFF yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Aksi yang sepatutnya berlangsung pada pukul 8.30 malam (waktu Malaysia) terpaksa diawalkan tiga jam awal iaitu 5.30 petang (waktu Malaysia) atas dasar keselamatan, bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini seperti kes bas pasukan Thailand yang diserang penyokong tuan rumah ketika aksi peringkat kumpulan tempohari.

Empat pertemuan sebelum ini antara kedua-dua pasukan menyaksikan tiga daripadanya memihak kepada Vietnam, sekaligus ia memberik kelebihan psikologi buat skuad Naga Emas itu, bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku apabila Indonesia lebih berbahaya dalam merencanakan serangan sejurus wisel permainan dibunyikan.

Marselino Ferdinan dan Yakob Sayuri berpeluang untuk meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke 35, namun percubaan mereka berjaya ditepis oleh penjaga gol utama Vietnam, Dan Van Lam.

Bersambung babak kedua, Vietnam kembali mempamerkan aksi keras dan lakonan berlebihan di atas padang, dengan Doan Van Hau berpura-pura bergolek di atas padang selepas dia memijak kaki pemain Indonesia, Dendy Sulistyawan pada minit ke 54.

Insiden tersebut mencetuskan ketegangan buat kedua-dua pasukan apabila mereka saling bertikam lidah. Mujur ia dapat ditenteramkan oleh pengadil perlawanan, namun tiada kad kuning dilayangkan kepada Van Hau atas kekasaran yang dilakukan.

Pasukan kendalian Shin Tae Yong berterusan melancarkan serangan namun Vietnam berjaya bertahan di samping kecekapan Van Lam untuk menafikan percubaan bertubi-tubi skuad Garuda sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Indonesia akan bertandang ke Stadium My Dinh, Hanoi Isnin depan untuk aksi separuh akhir kedua Piala AFF bagi menentukan ke perlawanan akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN