fbpx

‘Speedy Tigers tidak mengecewakan kami’

ARIA Duray (kiri) dan Raj Veer Singh mengibar Jalur Gemilang ketika hadir menonton perlawanan Malaysia menentang Sepanyol pada saingan crossover, Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India, Ahad lalu. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO

BHUBANESWAR: Melihat skuad hoki negara memberi tentangan hebat dan mampu mencabar kuasa-kuasa besar dunia terutama dari benua Eropah membuatkan penyokong Malaysia yang berada di bumi India amat berbangga dengan Speedy Tigers sepanjang kempen Piala Dunia.

Salah seorang peminat Malaysia, Aria Duray yang hadir ke bumi Bhubaneswar, India untuk menyaksikan aksi Speedy Tigers percaya, pasukan negara mampu melakar keputusan lebih baik pada masa akan datang jika terus diberi pendedahan kompetitif.

Peminat tegar berusia 53 tahun dari Melaka itu langsung tidak kecewa walaupun dapat menyaksikan satu perlawanan sahaja membabitkan Malaysia gara-gara gagal ke suku akhir.

SEBAHAGIAN penyokong Malaysia yang hadir di Stadium Hoki Kalinga, Bhubaneswar, India. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

“Malaysia bermain corak defensif sebelum keluar menyerang selepas ketinggalan 1-2 kepada Sepanyol. Ia sangat menarik dan menghiburkan apabila kita dapat dua gol walaupun satu dibatalkan.

“Kasihan kerana mereka telah bermain dengan baik dan membanggakan negara. Cuma mereka perlu lebih banyak pendedahan seperti Liga Pro FIH atau beraksi di liga seperti Australia dan Eropah.

“Pemain perlu ada keinginan tinggi dalam diri mereka untuk bermain di luar negara untuk meningkatkan kemahiran dan pengalaman. Mereka juga perlu ada lebih ramai pakar sains sukan yang membantu,” katanya.

B. Guna Bawan mengibar Jalur Gemilang di Stadium Kalinga.

Pandangan itu turut dipersetujui rakan baiknya dari Melaka, Raj Veer Singh, 53, yang kini bekerja sebagai doktor di Adelaide, Australia dan seorang lagi peminat hoki tanah air, B. Guna Bawan.

Difahamkan, harga tiket harian untuk Piala Dunia Hoki 2023 ialah 200 Rupee (RM10.58), 400 Rupee (RM21.15) serta 500 Rupee (RM26.44) dan sudah pun habis dijual sehingga aksi final sebelum kejohanan bermula lagi sebelum ini.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN