Siapa layak latih Zii Jia?

Siapa layak latih Zii Jia?

LEE ZII JIA

PETALING JAYA: Desakan demi desakan diterima pemain No. 2 dunia, Lee Zii Jia agar segera mendapatkan jurulatih selepas ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua badminton Terbuka India kelmarin.

Begitupun persoalannya ­siapa yang layak me­latih pemain berprofil tinggi sepertinya?

Kekalahan kepada pemain China, Li Shi Feng kelmarin menambah keresahan peminat badminton negara biarpun di atas kertas, Zii Jia dilihat tidak akan hadapi masalah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagi bekas pemain No. 1 dunia, Roslin Hashim, Zii Jia perlu memanfaatkan bantuan yang bakal diperoleh menerusi program ‘Gold Paris’ yang akan diperincikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat.

KEJUARAAN Asia pencapaian terbesar Lee Zii Jia sejak meninggalkan BAM.

Menerusi program itu, atlet yang berpotensi merealisasikan impian Malaysia untuk meraih pingat emas Olimpik pertama akan dibekalkan dengan segala bantuan diperlukan, termasuk perbelanjaan, logistik, kepakaran sains sukan dan perubatan.

“Saya lihat kalau nak ada orang melatihnya, individu itu mestilah mempunyai reputasi tinggi serta rekod lampau memberangsangkan, bukan sekadar tangkap muat.

“Zii Jia bukan pemain biasa, dia memerlukan seseorang yang bukan sahaja boleh meningkatkan permainannya tetapi me­ngawal segala aspek emosi dan peribadi.

“Kalau program tersebut mampu memberikan segala bantuan untuk memastikan Malaysia mendapat pingat emas di Olimpik, jurulatih profil tinggi yang saya nampak sesuai, Tang Xianhu atau Li Yongbo sebab mereka pernah mendidik dan membentuk Lin Dan.

LI Yongbo (kiri) pernah melatih Lin Dan.

“Kalau tempatan yang saya lihat, Datuk Misbun Sidek de­ngan reputasi yang dia ada tetapi kini dia terikat pula sebagai Pengarah Kejurulatihan Remaja, Kebangsaan” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin genap setahun Zii Jia bergelar pemain profesional selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dia sudah berjaya merampas gelaran juara Asia yang kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada 2016, disusuli memenangi Terbuka Thailand.

MISBUN SIDEK

Bagaimanapun selepas Zii Jia berpisah dengan Indra Wijaya Disember lalu, dua kejohanan pertamanya tahun ini berakhir dengan mengecewakan.

Kekalahan 11-21, 21-14, 18-21 di tangan Shi Feng kelmarin hadir seminggu selepas dia ­tersingkir seawal pusingan pertama kepada pemain Jepun, Kodai Naraoka pada Terbuka Malaysia.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN