LENS, Perancis: Kapten Paris Saint-Germain (PSG), Marquinhos menegaskan, kekalahan pertama yang dialami gergasi bola sepak Perancis itu dalam saingan Ligue 1 semalam bukan disebabkan ketiadaan dua bintang mereka, Lionel Messi dan Neymar.
Tegasnya, kekalahan 3-1 kepada Lens disebabkan lawan bermain lebih bagus.
Kekalahan pertama daripada 17 perlawanan itu juga tidak menjejaskan kedudukan PSG sebagai pendahulu liga, namun mengecilkan kelebihan kepada empat mata mengatasi Lens.
Ketiga-tiga gol tuan rumah di Stadium Bollaert-Delelis semalam disempurnakan oleh Przemyslaw Frankowski, Lois Openda dan Alexis Claude-Maurice, manakala jaringan saguhati PSG diperoleh menerusi Hugo Ekitike.
Skuad kendalian Cristophe Galtier itu kehilangan dua penyerang utama, Messi yang baru pulang dari rehat Piala Dunia sementara Neymar digantung kerana dilayangkan kad merah ketika bertemu Strasbourg.
“Mereka (Messi, Neymar) pemain hebat yang membuat perubahan tetapi kami sudah pun menang walau tanpa mereka.
“Saya rasa Lens lebih cekap, terutama pada babak pertama. Mereka memenangi duel yang membuat perbezaan. Kami ada peluang membuat jaringan tetapi kami tidak mampu jadi cekap seperti mereka,” kata Marquinhos.
Kekalahan PSG itu adalah yang pertama sejak Mac tahun lalu semasa menentang Monaco, menamatkan rentetan 25 perlawanan tanpa kalah dalam liga utama.
Kekalahan itu juga menandakan perlawanan sulung kompetitif buat Galtier selaku ketua jurulatih PSG selepas menggantikan Mauricio Pochettino menjelang kempen ini dan dia merasakan pasukannya seolah-olah tidak biasa dengan diri mereka sendiri.
“Lens berhak menang. Saya alami kesukaran mengenali pasukan saya. Kami tidak mempunyai perpaduan.
“Kami beri banyak ruang kepada lawan dan melakukan banyak kesilapan,” katanya. – AGENSI