LONDON: Pemilik Everton, Farhad Moshiri bersedia menjual kelab pada harga 500 juta pound (RM2.63 bilion) selepas menerima desakan daripada penyokong The Toffees.
Berita tersebut hadir dua hari selepas mereka memecat pengurus pasukan, Frank Lampard, Isnin lalu ekoran prestasi buruk Everton yang kini menghuni tangga kedua tercorot Liga Perdana Inggeris.
Penyokong Everton telah mengadakan siri bantahan terhadap Moshiri sejak beberapa bulan lalu, malah turut mendesak lembaga pengarah ditukar sejurus selepas kalah 2-0 kepada West Ham dalam aksi liga, Sabtu lalu.
Menurut The Guardian, biarpun Moshiri menegaskan tidak akan menjual kelab selepas kekalahan kepada West Ham, namun dia dijangka merubah fikiran ekoran desakan yang diterima.
Dalam satu video yang tular di media sosial, hartawan Britain-Iran itu didakwa memberitahu ahli lembaga, dia terbuka kepada pengambilalihan secara borong.

Dia bersedia menerima jualan minoriti atau majoriti, dengan ‘sebilangan bakal pembeli’ yang menyatakan minat.
Firma perundingan kewangan dan audit terkemuka, Deloitte dilaporkan bersedia untuk mengawasi penjualan kelab itu.
Moshiri telah melaburkan wang untuk stadium baharu Everton yang sedang dibina di Bramley-Moore Dock dengan kos 550 juta pound (RM2.9 bilion).
Mereka juga melakukan pembelian besar seperti membawa masuk Amadou Onana pada harga 31.5 juta pound (RM165.92 juta).
Everton turut membeli Alex Iwobi 28 juta pound (RM147.48 juta), Yerry Mina 27 juta pound (RM142.21), Michael Keane 25 juta pound (RM131.68) dan Moise Kean untuk 24 juta pound (RM126.41 juta). – AGENSI