Lihatlah kepada dosanya, bukan pendosa

Lihatlah kepada dosanya, bukan pendosa

Para pemain bola tampar wanita Melaka bersama jurulatih mereka (tengah) yang dikenali sebagai Cikgu Hadee.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BOLA tampar jarang menjadi topik perbualan atau kandungan yang lazim dikirim dalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

Maklumlah, di peringkat Sukan SEA pun, skuad lelaki negara hanya mengutip satu pingat perak di kandang sendiri pada 2001 sejak diperkenalkan dalam temasya dwitahunan itu di Kuala Lumpur pada 1977, manakala pasukan wanita terpaksa memutar waktu sehingga 1983 untuk menunjukkan kepada generasi hari ini bahawa kita pernah memenangi gangsa.

Untuk bola tampar pantai yang diperkenalkan di pentas Sukan SEA pada 2005, Malaysia mengutip dua pingat gangsa pada 2007 dan 2009 menerusi pasangan Beh Shuh Ting dan Luk Tek Hua.

Di edisi terbaharu Sukan SEA di Vietnam tahun lalu, skuad bola tampar pulang dengan tangan kosong.

Sepanjang minggu lalu, kecoh satu Malaysia apabila rakaman video insiden jurulatih bola tampar, menampar dua remaja berusia 14 tahun ditularkan sepantas kilat.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, bapa kepada salah seorang pemain yang ditampar, Abdul Halim Bakar, mahu guru terbabit, Saiful Hadee Amar, dikekalkan memandangkan perkara itu telah diselesaikan dengan baik sebelum ia menjadi tular dalam laman sosial.

Abdul Halim juga sudah berbincang dengan bapa kepada seorang lagi pemain yang ditampar dan mereka sepakat memaafkan guru terbabit serta berharap isu itu tidak diperbesarkan lagi oleh mana-mana pihak.

Dalam dacing yang mereka pegang, keterlanjuran guru itu menampar anak mereka cukup ringan berbanding dengan sumbangan, buah fikiran, wang ringgit dan tenaga fizikal beliau selama ini.

Cikgu Hadee juga sudahpun menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan berlapang dada sedia menerima sebarang hukuman pihak berkuasa.

Satu ketika dahulu, pengorbanan jurulatih di peringkat akar umbi ini tidak diketahui umum. Berbanding jurulatih peringkat elit dan senior, sumbangan jurulatih akar umbi jarang diberi liputan media arus perdana.

Jurulatih peringkat sekolah, kelab, daerah dan akar umbi dahulu menyumbat but kereta mereka dengan beg pakaian, peralatan sukan dan barangan lain serta memandu kenderaan yang padat dengan penumpang ke medan latihan mahupun pertandingan. Dari situ secara tidak langsung mereka menanam benih kehidupan yang positif dalam kalangan anak didik mereka.

Lazimnya juga, bagi mereka yang aktif dalam sukan yang ada kemudahan bilik persalinan, di situlah mereka berkongsi visi, misi dan strategi serta rahsia-rahsia peribadi.

Namun hari ini, mereka boleh berkongsi setiap gerak-geri mereka di laman sosial. Setiap yang dilakukan juga boleh dirakam secara curi.

Sudah jadi trend kata-kata semangat dalam bilik persalinan juga sengaja dirakam untuk ditularkan, sebagaimana dilakukan dalam dunia bola sepak sebagai satu kandungan menarik.

Usah lupa selama ini Cikgu Hadee antara wira tidak didendang yang tekun berkongsi pengetahuannya dengan anak-anak buahnya.

Cadangan agar sijil kejurulatihannya digantung untuk tempoh setahun atau dua tahun harus dianggap melampau kerana kalau dalam bola sepak, serangan terhadap pengadil pun kadangkala tidak diambil tindakan.

Tentu sekali tidak wajar untuk kita meragut keghairahan Cikgu Hadee. Benar, beliau melakukan satu kesalahan.

Namun tentu beliau tekad andai ada kesalahan anak buahnya selepas ini, mereka harus dipaksa melakukan tekan tubi atau ketuk ketampi!

PENULIS MEMILIKI PENGALAMAN MEMBUAT LIPUTAN SUKAN LEBIH TIGA DEKAD

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya