Kejohanan Karate Makaf buka tirai kalendar sukan 2023

Kejohanan Karate Makaf buka tirai kalendar sukan 2023

ATLET karate, Yong Kojiro membuat persembahan pembukaan pada Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Terbuka Persekutuan Makaf 2023 di Dewan Bestari, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Terbuka Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) 2023 merupakan pembuka tirai kalendar sukan bagi tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kejohanan pertama itu akan dijadikan contoh dan diharapkan berterusan untuk melahirkan lebih ramai pelapis baharu pada masa akan datang.

Beliau berkata, kejohanan kali ini disertai kira-kira 220 atlet, jurulatih dan pegawai dari seluruh negara termasuk wakil kontinjen Singapura seramai enam orang.

“Saya turut dimaklumkan bahawa kejohanan ini merupakan platform buat atlet skuad karate negara untuk mempamerkan persembahan terbaik dan seterusnya melayakkan diri mewakili negara ke Temasya Sukan Sea Ke-32 di Phnom Penh, Kemboja yang dijadual pada 5 hingga 17 Mei tahun ini.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan mendukung program-program sukan seiring dengan Flagship 8 iaitu Melaka Sejahtera dalam memperkasa belia dan sukan. Sebagai sebuah negeri pelancongan, saya yakin sukan seperti ini juga akan dapat menarik minat pelancong untuk melawat Melaka.

“Besar harapan saya untuk melihat satu hari nanti akan ada di antara atlet yang bertanding pada hari ini dapat mewakili negara, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh atlet senior yang telah mengharumkan nama Melaka dan juga Malaysia,” katanya ketika berucap sempena Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Terbuka Makaf 2023 di Dewan Bestari Ayer Keroh di sini, petang semalam.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengucapkan tahniah kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam atas pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif World Karate Federation (WKF) pada 28 Oktober 2022 di Konya, Turkiye.

“Lantikan yang berkuatkuasa bagi penggal 2022–2026 itu menyerlahkan lagi kepimpinan Tun sebagai Presiden Makaf di peringkat tertinggi.

“Ini memberi satu gambaran bahawa kepemimpinan melalui sukan oleh Tun diiktiraf oleh badan antarabangsa, sekali gus memartabatkan pengurusan kepimpinan sukan di peringkat negara dan negeri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.