fbpx

Beregu bidan terjun, Mei Xing-Pei Kee cipta kejutan mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023

Pasangan beregu wanita negara, Teoh Mei Xing dan Go Pei Kee ketika menentang pasangan senegara, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien pada Kejoahanan Badminton Terbuka Malaysia 2023, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Teoh Mei Xing dan Go Pei Kee unggul untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas menumbangkan rakan senegara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Atas kertas, Mei Xing dan Pei Kee berada di ranking 193 berbanding lawan yang merupakan beregu nombor 15 dunia, ditambah mereka pula hanya dapat jemputan untuk beraksi pada saat akhir setelah beregu Jepun, Chiharu Shida dan Nami Matsuyama menarik diri sehari sebelum saingan berlangsung.

Bagaimanapun Mei Xing dan Pei Kee yang baru digandingkan tiga bulan lalu berjaya menampilkan aksi bertenaga untuk melakar kemenangan 21-13, 21-13 dalam tempoh 40 minit.

Mereka bakal menentang pilihan ketujuh kejohanan dari China, Zheng Yu dan Zhang Shu Xian esok.

Turut menceriakan kem negara apabila wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan pemain Jerman, Yvonne Li dengan keputusan 21-11, 21-18 dan akan bertemu pemain Korea Selatan, An Se Young.

 

Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei ketika menentang pemain Jerman, Yvonne Li pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Beberapa lagi wakil negara akan beraksi di sebelah petang antaranya perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong serta juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN