MASTAF dibubarkan, Perlis umum sertai PSM

MASTAF dibubarkan, Perlis umum sertai PSM

Setiausaha Kehormat Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad (dua dari kanan) memohon secara rasmi untuk menyertai PSM setelah keluar daripada MASTAF hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polemik membabitkan dua badan induk sepak takraw negara kini berada di penghujungnya setelah Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) umum pembubaran badan induk itu hari ini.

Presiden MASTAF, Datuk Suhaili Abd Rahman akur dengan kekurangan ahli gabungan apabila hanya tinggal empat persatuan negeri sahaja bersama dengan mereka setelah Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) umum keluar dari badan induk tersebut hari ini.

Tambah Suhaili, mereka enggan lagi bertegang urat dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia biarpun hakikatnya mereka sebenarnya yang layak mentadbir urusan sepak takraw tempatan setelah mendapat kepercayaan daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

MASTAF sebelum ini dikenali sebagai MSC ditubuhkan pada awal Februari tahun ini.

“Setelah melihatkan kepada perbincangan terakhir bersama Pesuruhjaya Sukan pada 8 Disember lalu, sebelum kami sekali lagi duduk berbincang, kami menyedari PSM tidak serius untuk berbincang bagi kebaikan sepak takraw dan kebajikan atlet.

“Jadi kami dengan rela hati membubarkan MASTAF dan menyerahkan kepada mana-mana entiti yang akan dijadikan ahli baru kepada ISTAF dan ASTAF,” jelas Suhaili dalam satu sidang media tergempar di ibu kota sebentar tadi.

Suhaili berkata keputusan ini dibuat menerusi Mesyuarat Tertinggi MASTAF yang terdiri daripada Labuan, Putrajaya, Selangor dan Sarawak.

Terdahulu, Perlis menerusi Setiausaha Kehormatnya, Syed Azmir Syed Ahmad bukan sahaja mengutuskan surat penarikan diri negeri itu kepada barisan tertinggi MASTAF, malahan turut meletakkan jawatannya sebagai Penolong Setiausaha Agung MASTAF.

Bagi Syed Azmir, faktor utama Perlis bertindak untuk keluar dari MASTAF adalah disebabkan badan induk itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas selain tiada perancangan rapi untuk program pembangunan takraw tempatan.

Ironinya, PSTPs kini sedang memohon untuk kembali semula bernaung di bawah PSM.

“Sebelum saya membuat keputusan ini, saya ada merujuk salah sebuah persatuan negeri yang tidak perlu saya namakan mengenai masalah yang melanda, kerana sudah lama MASTAF tidak bersidang untuk Mesyuarat Ahli Majlis, jadi banyak perkara tidak dapat dibincangkan dan diminitkan untuk dijadikan agenda utama.

“Justeru demi kebaikan sepak takraw tempatan, saya melepaskan jawatan saya di dalam MASTAF dan Perlis juga mahu beralih bersama PSM untuk membangunkan sukan ini dengan lebih serius,” jelas Syed Azmir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya