Isu gaji Melaka United, kementerian panggil semua pihak terlibat

Isu gaji Melaka United, kementerian panggil semua pihak terlibat

MUFC didakwa gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan isu tersebut memuncak pada penghujung saingan Liga Super. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan akan membuat perjumpaan dengan semua pihak terlibat berhubung kemelut gaji para pemain Melaka United (MU) yang didakwa tertunggak selama enam bulan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, perjumpaan itu bakal diadakan dalam masa terdekat untuk mencari punca permasalahan dan penyelesaian terbaik.

Katanya, penilaian perlu dilakukan untuk meneliti keperluan campur tangan kerajaan atau meletakkan tempoh masa kepada pihak pengurusan menjelaskan tunggakan berkenaan.

ADAM ADLI Abd. Halim bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Melaka Open Speed Skating Challenge 2022 di Stadium Fatimah, Jalan Taman Bandaran, Melaka.

“Perkara ini kena diteliti betul-betul dahulu sebelum kita meletakkan time frame, tentu ada keperluan mendesak kerana (tunggakan) telah enam bulan.

“Penelitian itu mesti duduk dengan pengurusan bola sepak untuk mengenal pasti punca masalah sebenar, ia tidak semudah mengenai gaji pemain terlalu tinggi dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Melaka Open Speed Skating Challenge 2022 di Stadium Fatimah di sini, hari ini.

Terdahulu, Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) didakwa gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan isu tersebut memuncak pada penghujung saingan Liga Super.

Beberapa pemain turut membuat kenyataan di laman sosial Instagram masing-masing memohon pertolongan daripada penaung pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas mendakwa mereka sudah tiada pilihan lain.

Tambah Adam Adli, kementerian tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengarahkan sebarang pembayaran dibuat memandangkan pasukan berkenaan berstatus swasta.

Jelasnya, perbincangan itu bukan semata-mata demi menyelesaikan isu gaji pemain MU tetapi untuk menyediakan pelan tindakan (blueprint) bagi kegunaan sukan bola sepak pada masa depan.

“Kena ada satu blueprint untuk selesaikan isu tunggakan gaji, ini perkara berulang, bukan perkara baharu terutama dalam sukan bola sepak.

“Ini bukan masalah yang tidak ada jalan keluar, hanya perlu datang dengan solusi tepat, kena ada kerjasama yang baik dalam kalangan penggerak sukan untuk memastikan isu ini tidak berulang,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN