KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) enggan mengesahkan dakwaan mengenai pemotongan gaji oleh bekas pemain Terengganu FC (TFC), Faisal Halim.
Presiden PBSNT, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebaliknya menyifatkan berlaku salah faham antara pemain sensasi Harimau Malaya itu dengan pihak pengurusan TFC.
Menurut Menteri Besar Terengganu itu, satu jalan penyelesaian secara aman perlu dilakukan kedua-dua pihak dengan menggunakan saluran betul termasuk surat rayuan daripada Faisal sendiri.
“Kesahihan dakwaan itu saya tidak mahu menjawab kepada pihak media, biar dia (Faisal) hantar surat (rayuan) secara rasmi dahulu untuk pihak pengurusan mengambil tindakan berikutnya.
“Ada perkara yang tidak patut berlaku tetapi pemain itu melakukannya. Jadi ada tindakan pada peringkat awal. Namun masih ada ruang perbincangan dan Faisal boleh hantar surat rayuan.
“Dia (Faisal) pun tahu perkara ini. Kami kalau boleh mahu selesaikan secara baik dan akan tunggu komunikasi atau surat daripada pihak pemain itu dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) 2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Semalam, Faisal yang kini bersama skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF mendakwa gaji bulan terakhirnya telah dipotong 15 peratus oleh TFC tanpa sebarang alasan.
Pemotongan gaji itu difahamkan berpunca tindakan pemain lincah itu membuat kenyataan media tanpa kebenaran pasukan ketika kempen Liga Malaysia berlangsung.
Isu berkaitan bagaimanapun tidak mengganggu fokus pemain baharu Selangor FC itu yang telah menjaringkan tiga gol dalam dua penampilan bersama Malaysia dalam Piala AFF ketika ini. – UTUSAN ONLINE