Rachel terkandas di separuh akhir Terbuka Malaysia

Rachel terkandas di separuh akhir Terbuka Malaysia

RACHEL Arnold (kanan) berusaha keras membalas pukulan Nele Gilis tetapi dia gagal berbuat demikian pada separuh akhir Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Ihsan SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada wakil Malaysia pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia, esok, setelah wakil tunggal negara, Rachel Arnold tersingkir pada separuh akhir di tangan pilihan kedua, Nele Gilis di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil dekat sini, hari ini.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur yang menghuni ranking ke-26 dunia itu memberikan tentangan sengit sebelum kecundang 12-10, 0-11, 9-11, 11-7, 6-11 kepada pemain No. 14 dunia, Gilis dari Belgium.

Sejak awal permainan lagi, Rachel yang diletakkan sebagai pilihan kelapan, mempamerkan permainan agresif sehingga berjaya mencuri mata pertama apabila menang 12-10.

Bagaimanapun, pada set kedua Gilis melipat gandakan asakan sehingga pemain yang menjadi harapan Malaysia itu ketinggalan 0-5 dan jurang mata yang jauh mendorong Rachel melepaskan game tersebut dengan mudah 0-11.

Pada set ketiga, Rachel yang kembali memperkemaskan permainannya masih gagal menyaingi rentak Gilis sehingga tumpas pada game berkenaan, sebelum bangkit mengikat kedudukan 2-2 dalam set keempat dan sekali gus, mengheret pemain Belgium itu beraksi pada set penentuan.

Nasib ternyata tidak menyebelahi Rachel, apabila juara Terbuka Malaysia 2019 itu akhirnya akur dengan keputusan 6-11 pada set kelima yang memberikan kemenangan kepada Gilis.

Rachel ketika ditemui pemberita berkata, dia agak gementar berdepan dengan Gilis kerana pernah tumpas kepada pemain itu 0-3 pada Terbuka Britain, tahun lalu.

“Gilis seorang pemain yang sangat cergas dan dia bermain dengan baik sekali.

“Saya pula sebenarnya dari segi tahap stamina saya telah banyak meningkat dan saya yakin secara perlahan-lahan akan dapat menyaingi pemain handalan dunia,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu yang bakal beraksi pada Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia di Kaherah, Mesir Disember ini melahirkan keyakinannya akan dapat menembusi ranking 20 terbaik dunia yang menjadi sasarannya, tahun depan.

Kemenangan Gilis ke atas Rachel pada separuh akhir, bakal menemukannya sama ada pilihan pertama, Olivia Flechter dari Amerika Syarikat ataupun wakil Wales, Tesni Evans yang diletakkan selaku pilihan ketiga pada final, esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya