PARIS: Bintang tengah Perancis, Paul Pogba tidak dapat mempertahankan Piala Dunia di Qatar kerana memerlukan lebih masa untuk pulih daripada pembedahan lutut.
Pogba, 29, tidak bermain untuk Juventus musim ini sejak kembali menyertai gergasi Serie A itu dari Manchester United pada musim panas lalu.
Dia mengalami kecederaan lutut Julai lalu, dan pada mulanya memilih untuk tidak menjalani pembedahan dalam usaha kekal cergas menghadapi kejohanan itu.
Perlawanan Piala Dunia pertama Perancis menentang Australia pada 22 November.
Paul Pogba's agent Rafaela Pimenta on him missing the FIFA World Cup due to injury.👇 pic.twitter.com/MwZnfYtWkv
— Football Daily (@footballdaily) October 31, 2022
Dalam satu kenyataan semalam, ejen Pogba, Rafaela Pimenta berkata: “Berikutan semakan perubatan semalam dan hari ini di Torino serta Pittsburgh, amat menyakitkan untuk memaklumkan Paul Pogba masih memerlukan masa bagi proses pemulihan pembedahannya.
“Atas sebab ini, Paul tidak akan dapat menyertai skuad Juventus sebelum rehat Piala Dunia mahupun pasukan kebangsaan Perancis di Qatar.”
Pogba membuat penampilan terakhirnya bersama Perancis, Mac lalu ketika pasukan itu membelasah Afrika Selatan 5-0 dalam aksi persahabatan.

Dia kembali berlatih awal bulan lalu sebelum memilih untuk menjalani pembedahan, yang menyebabkan dia diketepikan sehingga dua minggu.
Media Itali semalam turut melaporkan bahawa Pogba telah mengalami kecederaan paha, manakala jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri baru-baru ini berkata adalah ‘sangat tidak mungkin’ pemain tengah itu akan bermain untuk kelab sebelum Piala Dunia. – AGENSI