PETALING JAYA: Selangor FC mahu memastikan 90 minit permainan di laman sendiri malam ini memberi kelebihan kepada mereka sebelum berdepan tugas lebih getir apabila bertandang ke Paroi dalam suku akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu depan.
Walaupun sedar peraturan gol tempat lawan tidak lagi digunakan kali ini, namun Red Giants tetap tidak rela gawang dibolosi bagi meningkatkan keyakinan untuk memburu tiket separuh akhir.
Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe juga menegaskan, pasukannya tetap turun dengan taktikal menyerang biarpun dalam masa sama bimbang dengan ancaman jentera serangan lawan, diketuai dua import bahaya, Matheus Alves dan Gustavo.
“Negeri Sembilan mempunyai pemain yang laju seperti Alves dan Gustavo.
“Kita akan turun dengan cuba mengekalkan rekod clean sheet (tanpa bolos), namun dalam masa sama tidak akan merubah identiti dengan tetap tmelancarkan serangan,” kata Cheng Hoe, yang belum kalah dalam enam perlawanan sejak mengambil alih Selangor, September lalu.
Dalam saingan 16 akhir, Negeri Sembilan meledak dua gol ketika menewaskan Kedah di tempat lawan, namun seri 0-0 di Paroi.
Ditanya mengenai kelebihan lawan, terutama dalam aspek sepakan bebas dan penjuru, Cheng Hoe mahu pemainnya mengelak melakukan kekasaran.
“Dalam bola sepak kita tidak boleh mengelak pasukan lawan untuk tidak mendapatkan set piece, namun kita harus mengelak kesalahan di hadapan gol.
“Daripada segi taktikal, kami perlu mengawasi setiap pergerakan mereka,” katanya.

Bagi pertahanan import Selangor, Yazan Abu Al-Arab, pertembungan kali ini medan terbaik untuk membalas dendam terhadap kekalahan 2-3 kepada Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di laman sendiri, Julai lalu.
“Ya, ini masa terbaik untuk balas dendam. Kita mengatasi mereka 2-0 pada separuh masa pertama tetapi tewas 2-3.
“Ini bola sepak. Jika kita tidak fokus 90 minit, kita akan tewas. Jadi, apa yang kita akan buat tingkatkan fokus dan cuba lakar kemenangan,” kata Yazan, yang membantu Selangor mengikat Negeri Sembilan 2-2 di Paroi pada 5 April lalu.
Selangor memegang rekod juara terbanyak Piala Malaysia dengan 33 kemenangan, namun tidak pernah menjulang trofi berprestij itu sejak kali terakhir pada 2015.