Kontroversi bayangi Piala Dunia

Kontroversi bayangi Piala Dunia

LUIS Suarez menggigit bahu Giorgio Chiellini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PIALA Dunia 2022 sudah dibayangi kontroversi sebaik sahaja Qatar diumum sebagai tuan rumah, dari isu cuaca yang memaksa kejohanan dibawa ke Musim Sejuk buat kali pertama sehinggalah hak asasi manusia dimainkan dengan meluas oleh media seluruh dunia.
Begitupun, Piala Dunia dan kontroversi sememangnya tidak boleh dipisahkan. Sama ada berlangsung di Qatar atau di mana-mana sekali pun.
Berikut kontroversi yang pernah terpahat sepanjang sejarah Piala Dunia.

TANGAN TUHAN (1986)

GOL ‘Tangan Tuhan’ Maradona antara kontroversi terbesar Piala Dunia.

SUKA atau benci, Diego Maradona menyinari bola sepak dunia pada 1980-an dan 1990-an. Terlibat dalam kontroversi setiap kali bermain, ia mencapai kemuncaknya di Mexico 1986, di mana dunia menyaksikan yang terbaik serta terburuk daripada superstar Argentina itu.

Musuh lama Argentina, England, adalah lawan mereka pada suku akhir Piala Dunia di Mexico City, hanya empat tahun selepas Perang Falklands antara kedua-dua negara.

Pada minit ke-51, Maradona melompat dan mencabar penjaga gol England, Peter Shilton untuk bola tinggi. Mengetahui dia jauh lebih pendek daripada Shilton, Maradona mencapai bola menggunakan tangan kiri dan menjatuhkannya ke dalam jaring. Gol itu dibenarkan dan digelar ‘The Hand of God’.

LE HEADBUTT (2006)

TANDUKAN Zinedine Zidane (kiri) ke dada Marco Materazzi menyebabkan dia dilayangkan kad merah dalam final Piala Dunia 2006.

ZINEDINE Zidane mengimpikan penamat yang sempurna sebelum bersara, dan semua tampak berjalan baik apabila Perancis berjaya melangkah ke final di Jerman pada 2006.

Begitupun dalam perlawanan akhir, ketika kedudukan terikat 1-1 menentang Itali, perancang utama Les Bleus itu tiba-tiba menanduk dada pertahanan lawan, Marco Materazzi selepas berperang mulut. Dia dilayangkan kad merah dan itali menang 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

PERTEMPURAN SANTIAGO (1962)

KEGANASAN membayangi aksi Itali menentang Chile pada 1962.

PERLAWANAN Kumpulan 2 di antara Itali menentang Chile pada 1962 boleh dikatakan paling ganas sepanjang zaman, bukan hanya pada Piala Dunia.

Ketegangan mula memuncak antara negara-negara itu selepas dua wartawan Itali menulis laporan buruk mengenai ibu kota Chile, Santiago. Sambutan berapi-api akhbar Chile memburukkan lagi keadaan.

Hanya lapan minit selepas perlawanan berlangsung, pemain tengah Itali, Giorgio Ferrini dilayangkan kad merah dan polis terpaksa mengiringinya keluar padang kerana dia enggan pergi.

Tidak lama kemudian, pemain Chile Leonel Sanchez menumbuk Mario David tetapi tidak dilayangkan kad merah, sebaliknya bek kanan Itali itu dibuang padang beberapa minit berselang kerana cuba menendang kepala Sanchez sebagai tindakan balas dendam.

Sanchez terlibat sekali lagi dalam pergaduhan, kali ini dia mematahkan hidung Humberto Maschio dan kekal di atas padang. Pergaduhan, meludah dan polis dipanggil tiga kali untuk menenangkan keadaan dalam perlawanan yang akhirnya dimenangi Itali, 2-0.

PERISTIWA SCHUMACHER (1982)

Patrick Battiston diusung keluar selepas berlaga dengan penjaga gol Jerman. 

DALAM separuh akhir 1982 di Sepanyol, penjaga gol Jerman, Harald ‘Toni’ Schumacher dan pertahanan Perancis, Patrick Battiston berlumba ke arah bola hantaran jauh Michel Platini.

Battiston mencapai bola terlebih dahulu tetapi dirempuh oleh Schumacher, menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Dia diberi oksigen di padang, hilang dua gigi, retak tiga rusuk dan tulang belakang.

Tiada tindakan diambil. Schumacher meneruskan permainan, Battiston dibawa keluar dan Jerman akhirnya menang menerusi penalti untuk mara ke final.

FINAL 1966

JARINGAN paling kontroversi dalam sejarah Piala Dunia.

SEHINGGA hari ini gol ketiga England dalam final Piala Dunia 1966 masih diperkatakan, sama ada melepasi garisan atau tidak.

Jaringan penyamaan Jerman Barat pada minit ke-89 mengheret perlawanan ke masa tambahan. England kembali di depan pada minit ke-101 selepas rembatan Geoff Hurst mengenai bahagian bawah palang, melantun ke bawah dan kemudian ditepis.

Pemain England merayu bola telah melepasi garisan dan mula meraikannya. Pengadil Switzerland tidak yang tidak pasti berunding dengan penjaga garisan Azerbaijan, yang memberikan gol.

England kemudian menjulang kejuaraan pertamanya dengan kemenangan 4-2.

DETIK MEMALUKAN GIJON (1982)


PERLAWANAN Kumpulan 2 di Gijon di antara Jerman Barat dan Austria dalam Piala Dunia 1982 membawa kepada perubahan format pertandingan buat selama-lamanya.

Selepas kekalahan mengejut 1-2 kepada Algeria dalam aksi pembukaan kumpulan, Jerman Barat perlu menewaskan Austria atau berdepan penyingkiran.

Begitupun, jika Austria melepaskan tiga atau lebih gol, Algeria akan layak ke pusingan seterusnya. Ketika itulah teori konspirasi bermula.

Selepas Jerman Barat menjaringkan gol pada minit ke-10 menerusi Horst Hrubesch, kedua-dua pasukan jelas tidak bersungguh-sungguh dalam permainan. Keputusan 1-0 kekal, Jerman Barat dan Austria mara ke pusingan kedua.

TANGAN, GIGI SUAREZ (2010, 2014)

LUIS Suarez (kiri) menampan bola menggunakan tangan. 

LUIS Suarez dan kontroversi memang tidak mampu dielakkan.

Pada 2010, ketika Ghana di ambang untuk muncul negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia, tandukan Dominic Adiyiah hampir menerjah gawang Uruguay, namun Suarez yang berdiri di atas garisan menampan bola menggunakan tangan.

Suarez dilayangkan kad merah dan Asamoah Gyan melangkah untuk mengambil penalti tetapi bola terkena palang. Selepas kedudukan 1-1 kekal hingga tamat permainan, Uruguay akhirnya menang penentuan sepakan penalti.

Pada 2014, Suarez lebih ‘ganas’. Dia menggigit bahu pertahanan Itali, Giorgio Chiellini. Dia terlepas daripada tindakan tetapi kemudian digantung empat bulan, termasuk sembilan aksi antarabangsa.

KEMENANGAN DIRAGUI (1978)

KEMENANGAN Argentina pada Piala Dunia 1978 di negara sendiri dicemari dakwaan mengatur perlawanan dan taktik kotor.

Untuk mara ke final, Argentina perlu mengalahkan Peru yang kuat sekurang-kurangnya 4-0. Ia nampak mustahil kerana Peru seri 0-0 dengan Belanda dan menewaskan Scotland serta Iran.

Bagaimanapun, apa yang berlaku, Argentina menang 6-0. Beberapa tahun kemudian, seorang senator Peru mendakwa perlawanan itu telah diatur ekoran perjanjian perdagangan di antara kedua-dua negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya