Jangan terus dibuai mimpi

Jangan terus dibuai mimpi

PEMAIN Malaysia memberi penghormatan kepada penyokong yang memenuhi Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh selepas tamat perlawanan. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas kapten hoki kebangsaan, Sukri Mutalib mengingatkan pemain negara agar tidak terus dibuai mimpi selepas melakar sejarah menamatkan penantian 39 tahun untuk mendakap Piala Sultan Azlan Shah kelmarin.

Walaupun kejohanan kali ini tidak disertai beberapa kuasa besar hoki dunia seperti Great Britain, Australia, India serta New Zealand, namun pasukan yang bertanding seperti Jepun, Korea Selatan dan Pakistan juga mempunyai kualiti tinggi.

Bagi Sukri, ia memang ­kesempatan terbaik untuk ­Malaysia memanfaatkan peluang bergelar juara dan mereka berjaya menterjemahkannya dengan menumpaskan Korea Selatan 3-2 pada perlawanan akhir di Ipoh.

PEMAIN Malaysia memberi penghormatan kepada penyokong yang memenuhi Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

“Kalau kita imbas edisi sebelum ini, jika bertemu Australia di final, pasti sukar tetapi ­dengan ketiadaan mereka tahun ini, Malaysia memastikan gelaran buat kali pertama.

“Walaupun tiada pasukan-pasukan besar tersebut, laluan Malaysia dalam kejohanan ini juga tidak mudah.

“Biarpun atas kertas ranking Malaysia paling tinggi (No. 10 dunia) berbanding pasukan lain tetapi kita boleh tahu kekuatan antara setiap pencabar ­seperti Jepun, Korea Selatan dan Pakistan itu setara,” kata Sukri kepada Utusan Malaysia.

Kekuatan sebenar skuad ­Malaysia katanya bakal teruji apabila mereka mengharungi Piala Dunia Hoki di Bhubaneswar, India dari 13 hingga 29 Januari depan.

“Tahun ni walaupun kita bergelar naib juara Piala Asia dan terbaru, juara Piala Sultan Azlan Shah, kita tak banyak diuji oleh pasukan-pasukan dari Eropah, Amerika Latin, Australia.

“Diharap dengan kemenangan diraih Malaysia pada Piala Sultan Azlan Shah, ia mungkin akan menjadi tonik dan menaikkan semangat mereka apabila bersaing dalam Piala Dunia nanti,” ujar Sukri.

Pada Piala Dunia tahun depan, anak-anak Arul Selvaraj diletak dalam kumpulan C ­bersama bekas juara dunia tiga kali, Belanda, selain New Zealand serta Chile.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.