Indra terkejut tidak lagi diperlukan Zii Jia

Indra terkejut tidak lagi diperlukan Zii Jia

LEE Zii Jia (belakang, tengah) memilih untuk tidak lagi menggunakan khidmat Indra Wijaya (belakang, kiri) sebagai jurulatihnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indra Wijaya mengesahkan kontraknya bersama jaguh badminton No. 2 ­dunia, Lee Zii Jia telah ditamatkan dan akan berakhir pada Jumaat ini.

Indra yang kini berada di Jakarta mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini oleh pihak pengurusan pasukan Zii Jia ketika mengadakan pertemuan Ahad lalu.

Jelasnya, Zii Jia mahu berge­rak solo dan tidak lagi dibim­bing oleh penggendali Indonesia itu dan kedua pihak mencapai kata sepakat untuk berpisah secara baik.

“Pasti saya rasa terkejut juga kerana apa saya lalui bersamanya sepanjang tahun ini bukannya mudah, bermula dari dia ambil keputusan keluar dari skuad kebangsaan sehinggalah menjadi pemain profesional.

“Bagaimanapun dia mempunyai perancangan tersendiri, dan saya menghargai dengan peluang yang telah diberikan,” jelas Indra yang dihubungi ­Utusan Malaysia semalam.

INDRA membantu Lee Zii Jia muncul juara Asia.

Indra mula berkelana di negara ini apabila diikat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2015 sebagai jurulatih perseorangan lelaki sebelum ditukarkan kepada skuad perseorangan wanita pada 2020.

Indra mengambil keputusan untuk menjadi jurulatih Zii Jia sebulan selepas perseorangan lelaki utama negara itu membuat keputusan kontroversi meninggalkan BAM pada Januari tahun ini.

Di bawah kendaliannya, Zii Jia berjaya merangkul gelaran Juara Asia selain menawan Terbuka Thailand dan muncul naib juara Terbuka Denmark.

Bagaimanapun dua kejohanan terakhir Zii Jia bersama Indra tidak menghadirkan keputusan memberangsangkan apabila dia tersingkir di pusi­ngan pertama Terbuka Perancis di tangan Shesar Hiren Rhustavito, manakala perjuangannya untuk meraih tiket ke Jelajah Dunia Akhir di Bangkok bulan depan tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua di Terbuka Australia.

 

KETIKA muncul juara Terbuka Thailand.

“Saya masih tiada sebarang perancangan selepas ini kerana berita ini masih baru, namun saya terbuka dengan apa sahaja peluang yang bakal diberikan selepas ini.

“Sebelum ini mungkin ada pihak mahu menawarkan tawaran yang lebih baik, namun tiada yang berani mengemukakan kerana mengetahui saya sedang memberikan komitmen melatih Zii Jia.

“Bagaimanapun sekarang mungkin saya sedia pertimbangkan,” tambah Indra.

Sementara itu, pihak pasukan Zii Jia melahirkan penghargaan buat jurulatih berusia 48 tahun itu sepanjang lapan bulan ini.

“Kami akan sentiasa menghargai usaha yang Indra lakukan untuk Zii Jia dan pasukan ini.

“Dia akan sentiasa diingati sebagai mentor penting, kami mengucapkan selamat maju jaya buat dirinya untuk masa hadapan,” jelas pasukan Zii Jia dalam satu kenyataan ringkas semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.