Eain Yow teruskan kemaraan di Terbuka Singapura

Eain Yow teruskan kemaraan di Terbuka Singapura

NG EAIN YOW (kanan) membalas pukulan yang dilakukan Saurav Ghosal sewaktu beraksi pada pusingan pertama Terbuka Singapura di OCBC Arena, Singapura, hari ini. - GAMBAR/singaporesquashopen.com.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ng Eain Yow dipaksa bekerja keras selama sejam setengah sebelum beroleh kemenangan berharga ke atas wakil India, Saurav Ghosal pada pusingan pertama kejohanan skuasy Terbuka Singapura di OCBC Arena, Singapura, hari ini.
Pemain utama negara itu yang kini menghuni ranking ke-24 dunia menundukkan Ghosal yang diletakkan selaku pilihan ke-9/16, 12-14, 11-4, 9-11, 14-12, 11-1.

Ghosal yang merupakan pemain No. 16 dunia tidak memberi laluan mudah kepada Eain Yow yang tunduk dalam set pertama 12-14, sebelum pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 24 tahun itu mengikat kedudukan menjadi 1-1 apabila menang 11-4 dalam set kedua.

Kedua-dua pemain yang enggan mengalah saling mengejar mata sehingga permainan terikat 2-2 dan Eain Yow yang 12 tahun lebih mudah daripada Ghosal menutup aksinya menerusi kemenangan 11-1 untuk menempah pertemuan dengan pemain No. 2 dunia, Paul Coll dari New Zealand di pusingan kedua, esok.

“Saya agak kecewa dengan diri saya pada set pertama, saya berada pada kedudukan yang mana kemenangan berpihak kepada saya. Kami telah bertemu pada Kejuaraan Berpasukan Asia beberapa minggu lalu dan situasi sama berlaku pada game pertama.

“Semasa set ketiga dan keempat saya hilang fokus sedikit, dan ketika permainan diheret sehingga ke set penentuan, saya sedar yang saya perlu terus berjuang, sejujurnya, saya tak rugi apa-apa, saya sendiri tidak berapa pasti apa yang berlaku pada penghujung set keempat.

“Saya cuma terus berjuang dan terus berlari. Saya benar-benar gelisah apabila dia menyempurnakan pukulan voli yang tinggi dan saya hanya merembat bola dengan kuat.

“Saya bernasib baik, dalam set kelima, keadaan fizikal berpihak kepada saya,” kata Eain Yow yang dipetik kenyataannya menerusi laman web singaporesquashopen.com.

Eain Yow yang turut menerima sokongan daripada kedua orang tuanya yang hadir menyaksikannya pada Terbuka Singapura berazam untuk memberikan persembahan terbaik menentang pilihan kedua, Coll di pusingan kedua, esok.

Sementara itu, dalam aksi wanita, dua wakil Malaysia, Rachel Arnold dan Aifa Azman turut mengikut jejak langkah Eain Yow mara ke pusingan kedua setelah mengejutkan lawan masing-masing di pusingan pertama.

Pemain No. 28 dunia, Rachel mengejutkan Tesni Evans dari Wales yang menghuni ranking ke-13 dunia 9-11, 11-3, 13-11, 11-8 dalam masa 47 minit.

Aifa pula yang berada di kedudukan ke-24 dunia mengambil masa hampir sejam untuk mengalahkan pemain No. 20 dunia, Olivia Clyne dari Amerika Syarikat 11-8, 9-11, 11-7, 13-15, 11-2.

Pada pusingan kedua, esok, laluan getir menanti Rachel dan Aifa yang bakal menghitung pertemuan dengan dua jaguh Mesir.

Rachel akan turun beraksi menentang pemain No. 7 dunia, Rowan Elaraby, manakala, Aifa bertemu Nour El Tayeb yang menghuni ranking ke-6 dunia.

Seorang lagi wakil negara, Low Wee Wern yang pernah menghuni ranking No. 4 dunia sebelum ditimpa kecederaan lutut yang membelenggu kariernya selepas itu terkandas setelah tumpas kepada pemain No. 22 dunia, Nadine Shahin dari Mesir 12-10, 8-11, 11-13, 7-11 dalam masa 43 minit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya