Datuk Ananth S. Nathan melabur dalam kelab bola sepak Inggeris

Datuk Ananth S. Nathan melabur dalam kelab bola sepak Inggeris AFC Wimbledon

Ananth S. Nathan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Presiden Persekutuan Esport Malaysia (MESF) dan perintis komuniti Esports di Asia Tenggara, Datuk Ananth S. Nathan membuat pelaburan besar dalam Kelab Liga Perdana Inggeris, Wimbledon FC, yang telah dihidupkan semula pada 2002 sebagai AFC Wimbledon.

Pelaburan tersebut meletakkan beliau sebagai pemegang saham individu kedua terbesar AFC Wimbledon dan salah seorang daripada beberapa pemilik Asia yang melabur dalam sebuah kelab bola sepak Eropah.

Ananth berkata,aspek yang sangat unik dalam pelaburan tersebut ialah beliau tidak pernah melihat pasukan AFC Wimbledon bermain secara langsung.

“Pada tahun 2002, Wimbledon FC, atau lebih dikenali sebagai Dons, telah dipisahkan secara kontroversi daripada komunitinya oleh Suruhanjaya Persatuan Bola Sepak.

“Kelab itu telah dipindahkan 70 batu dari tempat asalnya dan diletakkan semula di bawah nama dan pemilikan baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ananth berkata, keputusan suruhanjaya tersebut amat mengecewakan peminat dan suatu kempen telah dilancarkan membangunkan semula kelab sebagai AFC Wimbledon pada tahun yang sama bagi mengekalkan legasi cemerlang pasukan itu.

Kempen tersebut jelasnya, mengumpul dana berjuta-juta pound untuk membina semula Stadium Plough Lane yang mereka sayangi, dengan kelab itu bermain perlawanan pertamanya di stadium sendiri pada November 2020.

“Kehidupan saya hampir sama dengan kisah perjuangan dan kejayaan AFC Wimbledon membentuk ikatan semangat dan ketabahan bersama kelab bola sepak itu.

“Pada 2010, saya sendiri melalui pengalaman yang sukar dalam kehidupan peribadi dan profesional saya. Dengan sokongan keluarga dan kawan rapat, saya tabah. Seperti burung cenderawasih, hidup saya ibarat bangkit daripada abu dan saya membuat lonjakan tinggi ke udara,” katanya.

Ananth berkata, semangat komuniti yang kuat terhadap kebangkitan semula kelab ini adalah pemangkin penting pelaburan yang dibuatnya.

Beliau yang turut menjadi Presiden Antarabangsa bagi kelab tersebut berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya menganggap komitmen terhadap AFC Wimbledon sebagai pelaburan, tetapi melakukannya kerana beliau suka bola sepak dan sejarah romantik kelab tersebut.

“Itu kesan yang saya hendak tonjolkan di Malaysia. Jadi, apabila peluang datang, saya terpanggil meletakkan nama saya di sini,”ujarnya.

Untuk rekod, AFC Wimbledon memegang rekod untuk perlawanan liga tanpa kalah paling lama dalam bola sepak senior Inggeris, dengan 78 perlawanan liga tanpa kalah berturut-turut, serta menjadi pemenang Piala FA pada 1988 setelah menewaskan Liverpool 1-0 di Wembley. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya