Apakah VAR akan bantu pengadil kita ke Piala Dunia?

Apakah VAR akan bantu pengadil kita ke Piala Dunia?

VAR sudah lama diperkenalkan di peringkat antarabangsa, namun masih asing di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KADANG-kadang penulis berasa cemburu dengan negara jiran, Singapura, khususnya apabila membincangkan wakil pengadil di pentas paling berprestij, Piala Dunia FIFA.

Walaupun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia masih ternanti-nanti seorang pengadil yang turun ke padang untuk mengadili perlawanan Piala Dunia.

Sekalipun satu ketika dahulu Datuk Koe Ewe Teik menjadi timbalan pengerusi jawatankuasa pengadil FIFA ketika Stanley Rous menjadi Presiden, kita masih menunggu nama anak Malaysia dipaparkan di kaca televisyen sebagai pengadil yang mengendalikan perlawanan Piala Dunia.

Ketika Subkhiddin Mohd. Salleh terpilih sebagai pengadil ke Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan, beliau tidak dilantik mengendalikan perlawanan, sebaliknya menjadi pegawai keempat untuk tujuh perlawanan.

SUBKHIDDIN (dua, kiri) ketika menjadi pengadil keempat dalam Piala Dunia 2010. 

Walhal pengalaman Subkhiddin bukan sedikit. Selain dilantik mengadili dua perlawanan di Sukan Olimpik Athens pada 2004, Subkhiddin ditugaskan ke Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun bagi edisi Kanada 2007 dan Mesir 2009 selain mengendalikan tiga perlawanan di Piala Dunia FIFA Bawah 17 tahun di Peru pada 2005.

Ini berbeza dengan status Singapura yang diwakili George Suppiah pada 1974 di Jerman Barat dan Shamsul Maidin di Jerman pada 2006.

Untuk edisi di Qatar dua minggu lagi, Mohd. Taqi Jahari dipilih sebagai pengadil sistem video bantuan pengadil (VAR).

Benar Allahyarham Kapten Abdul Halim Hamid (Perancis 1998) dan Mat Lazim Awang Hamad (Korea Selatan-Jepun 2002) diberi peluang beraksi tetapi sebagai penolong pengadil Piala Dunia FIFA.

Dengan keadaan semasa, agak sukar untuk pengadil terbaik tempatan diangkat sebagai calon mencipta sejarah di Piala Dunia FIFA.

Memperkenalkan VAR dalam liga musim depan tidak akan mengubah keadaan, selagi pengadil kita tidak didedahkan dengan kaedah pendidikan terbaik serta pendedahan kepada perlawanan kompetitif dari peringkat bawah.

VAR ‘menjejakkan kaki’ buat kali pertama di Malaysia dalam perlawanan akhir Piala AFC di antara KL City menentang Al Seeb di Bukit Jalil, bulan lalu. 

VAR berfungsi sebagai tukang semak dan memerlukan pembabitan pengadil VAR bagi meminimumkan kekhilafan pengadil, iaitu dalam hal membabitkan keputusan gol atau tidak, salah identiti, kesalahan kad merah dan insiden dalam kawasan penalti sahaja. Maknanya tugas dan kepakaran hakiki seorang pengadil tetap dituntut sepanjang perlawanan.

Tidak semua keputusan ofsaid disemak semula, melainkan ada keraguan di sebalik pergerakan yang menjurus kepada punca gol dijaringkan.

Projek pengadil profesional yang dinamakan Malaysia Professional Referee System (MProRS) dijangka dihidupkan semula selepas tergendala dua tahun akibat Covid-19.

Mengikut perancangan asal, prestasi enam pengadil – Muhammad Nazmi Nasaruddin, Tuan Mohd. Yaasin Tuan Hanafiah, Zulkarnain Zakaria, Muhammad Faizuddin Ismail, Razlan Joffri Ali dan Izzul Fikri Kamaruzaman dipantau sebelum FAM menamakan dua calon pengadil profesional bermula 2020, ditambah dua lagi pada 2021 dan seterusnya dua lagi pada 2022.

FAM juga haruskan sediakan bajet khas untuk pemerkasaan pengadil dengan membawa instruktur ternama dari luar negara berkongsi pengalaman mereka, sebagaimana David Elleray dipelawa mengendalikan seminar dua hari Pengadil Elit pada 2004.

David Elleray

Dengan gaya penyampaian bersahaja tetapi penuh ilmiah berserta video-video, Elleray yang melayangkan kad merah kepada Roy Keane yang melakukan terjahan keras ke atas Alf Inge Haaland, bapa kepada Erling, pada 2001, memberi pencerahan kepada peserta waktu itu dengan beberapa mutiara kata.

Dengan gaya penyampaian bersahaja tetapi penuh ilmiah berserta video-video, Elleray yang melayangkan kad merah kepada Roy Keane yang melakukan terjahan keras ke atas Alf Inge Haaland, bapa kepada Erling,pada 2001, memberi pencerahan kepada peserta waktu itu dengan beberapa mutiara kata.

Dengan pengenalan VAR ke dalam bola sepak tempatan, ruang untuk generasi pengadil akan datang belajar secara konvensional menerusi kaedah yang melahirkan S. Kathrivale, Datuk George Joseph, Othman Omar, Allahyarham Mohd. Nazri Abdullah dan Nik Ahmad Yaakub kian tertutup.

Sebaliknya seorang pengadil harus dididik mengimbangi tuntutan di antara kerenah pemain, tekanan peminat, ‘kepakaran’ warga maya, penggunaan teknologi dan undang-undang permainan.

Individu yang boleh menyerap ilmu ini harus tersenarai ke Piala Dunia FIFA satu hari nanti.

*Penulis memiliki pengalaman membuat liputan sukan lebih tiga dekad

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya