Addeen sekat kemaraan 'Hammer of Thor' pada Terbuka Malaysia

Addeen sekat kemaraan ‘Hammer of Thor’ pada Terbuka Malaysia

Muhamad Addeen Idrakie Bahtiar (kanan) berusaha membalas pukulan yang disempurnakan Omar Mosaad pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Ihsan SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar mencipta kejutan paling manis sejak bergelar atlet kebangsaan, apabila dia membenam bekas jaguh No. 3 dunia, Omar Mosaad dari Mesir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Addeen yang menghuni ranking ke-83 dunia itu tidak diletakkan sebarang harapan memandangkan pencabarnya itu bukanlah calang-calang lawan, tetapi, hari ini, dia mencipta sejarah dalam kariernya apabila menundukkan Omar yang mendapat jolokan ‘Hammer of Thor’ 14-12, 11-5, 11-13, 11-7 dalam masa 64 minit.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 28 tahun itu memanfaatkan kelebihannya yang bertubuh lebih kecil berbanding Omar dengan lebih kerap bermain di bahagian hadapan gelanggang.

“Kelebihan saya ialah bermain di depan gelanggang, Omar pula berdepan kesukaran untuk mengikut rentak saya.
“Jika dia berjaya mengajak saya bermain sedikit ke tengah, saya mungkin menghadapi masalah kerana di situlah kelemahan saya.

“Jadi, saya kerap bergerak ke depan sehingga memerangkap Omar untuk melakukan kesilapan,” katanya yang kali pertama menjejakkan kaki ke pusingan kedua pada Terbuka Malaysia.

Omar yang kini menghuni ranking ke-22 dunia pada usia 34 tahun, mungkin tidak sehebat ketika di puncak kariernya, tetapi, bintang Mesir itu membuktikan pengalaman luas yang dimilikinya apabila dia berjaya menyekat Addeen menamatkan perlawanan lebih awal setelah menang 13-11 dalam set ketiga.

Namun, faktor usia dan stamina yang lebih baik, Addeen tidak lagi memberi ruang kepada Omar apabila menutup aksinya dengan kemenangan pada set keempat 11-7.

Menurut Addeen, pada pusingan kedua, esok, dia akan bertemu pilihan ketujuh, Raphael Kendra dan seperti mana Omar, pemain Jerman itu tidak pernah ditentangnya sebelum ini.

Hari ini, bukan Addeen seorang yang mencipta kejutan ke atas pemain berkedudukan ranking lebih tinggi, tetapi, dalam aksi lebih awal, Noor Ainaa Amani Ampandi yang menjadi ‘bidan terjun’ pada Terbuka Malaysia turut berjaya berbuat demikian.

Pemain muda berusia 20 tahun itu mencipta kejutan menewaskan pemain No. 38 dunia, Zeina Mickawy dari Mesir 12-10, 6-11, 7-11, 11-7, 11-6 dalam masa 48 minit.

Turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua ialah seorang lagi wakil Malaysia, Chan Yiwen yang mengalahkan rakan senegara yang juga merupakan bekas pemain No. 4 dunia, Low Wee Wern 11-4, 11-9, 11-4.

Pemain No. 1 negara, Ng Eain Yow terlebih dahulu telah menempah slot ke pusingan kedua apabila menyingkirkan Leandro Romiglio dari Argentina 11-7, 11-5, 11-8 dalam masa 40 minit pada perlawanan yang dilangsungkan lebih awal.

Esok, pemain No. 20 dunia itu akan bertemu Joel Makin dari Wales, pencabar yang menyingkirkannya pada suku akhir Terbuka Singapura, minggu lalu.

Sementara itu, lima lagi pemain negara iaitu Ivan Yuen, Yee Xin Ying, Mohd Syafiq Kamal, Ong Sai Hung dan Ooi Kah Yan tersingkir seawal pusingan pertama apabila kalah kepada lawan masing-masing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya