NICOSIA, Cyprus: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag tidak gembira dengan aksi goyah pasukannya yang nyaris dikejutkan kelab kerdil Cyprus, Onomia Nicosia sebelum menang 3-2 dalam saingan Liga Europa hari ini.
United ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, namun kemasukan Marcus Rashford dan Anthony Martial pada separuh masa kedua menyelamatkan mereka.
Onomia yang menghuni tangga keempat dalam Liga Cyprus mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Karim Ansarifard pada minit ke-34.
United yang menurunkan pasukan terkuat, termasuk meletakkan Cristiano Ronaldo dan Casemiro dalam kesebelasan utama gagal memberi ancaman pada babak pertama.
Ronaldo kelihatan terdesak untuk mencuri tumpuan tetapi gol ke-700 yang dicari sepanjang kariernya tidak hadir, malah beberapa percubaannya sama ada terkena tiang atau tersasar.
💭 How can United avoid repeating the first-half mistakes from tonight's win?
Erik has the answer 👇#MUFC || #UEL
— Manchester United (@ManUtd) October 6, 2022
Ten Hag kemudian membawa masuk Rashford, Martial dan Luke Shaw, yang nyata membawa perbezaan kepada permainan mereka.
Rashford meledak gol penyamaan pada minit ke-53 sebelum Martial meletakkan United di depan, 10 minit berselang.
Rashford meneruskan prestasi baiknya dengan meledak gol ketiga pada minit ke-84.
Seminit kemudian, benteng rapuh United dihukum oleh Nikolas Panayiotou yang membuatkan gergasi Liga Perdana itu cemas seketika.
Bagaimanapun mereka bernasib baik tiada tambahan gol diperoleh tuan rumah, dan keputusan 2-3 kekal hingga tamat permainan.
Kemenangan itu membolehkan United menduduki tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata, tiga mata di belakang Real Sociedad.
“Kami bermula baik, namun kemudian melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dan amat teruk pada 10 minit pertama. Kami harus belajar agar tidak membiarkan dikuasai oleh penonton.
“Kami terlalu statik dan membenarkan lawan bebas bergerak, sebab itulah saya melakukan pertukaran. Kemasukan dua pemain ini membawa perbezaan,” kata Ten Hag. – AGENSI