Skuad hoki negara terus longlai

Skuad hoki negara terus longlai

Penyerang Malaysia, Muhammad Addy Jazmi diasak oleh pemain Afrika Selatan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja negara terus berputih mata apabila tewas lagi kepada Afrika Selatan 3-1 pada hari ketiga kejohanan hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-10 di Stadium Hoki Taman Daya, malam tadi.

Pada suku pertama, perlawanan tampak seimbang setelah kedua-dua pasukan berhati-hati mengatur gerakan dan tidak ada jaringan berjaya direkodkan.

Afrika Selatan mempertingkatkan tempo permainan mengasak kubu Malaysia hingga berjaya memperoleh pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Calvin Davis pada minit ke-23.

Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila skuad kendalian Muhammad Amin Rahim menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil jaringan Muhammad Amirul Hanif Mamat menerusi pukulan sudut penalti.

Pasukan tuan rumah yang dihadiahkan tiga pukulan sudut penalti pada minit akhir suku kedua gagal memanfaatkan peluang tersebut.

Pendatang baharu itu kembali di hadapan pada minit ke-35 menerusi jaringan Marvin Simons yang menghukum kesilapan pertahanan skuad Young Tigers dengan membiaskan pukulan Ryan Mann.

Pasukan kendalian Guy Elliot terus selesa di hadapan apabila serangan yang diilhamkan Senzwesihle Ngubane mudah melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melorongkan bola kepada Cameron le Forestier bagi menjaringkan gol ketiga.

Keputusan itu, menyaksikan Malaysia tewas dalam semua perlawanan setakat ini dan menjadi satu-satunya pasukan gagal meraih sebarang mata.

Terdahulu, Australia mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan penyandang juara, Great Britain 3-1 untuk terus menghuni senarai pendahulu liga.

Pada pertemuan itu, Cooper Burns dan Liam Hart masing-masing meledak satu gol menerusi gol padang, manakala Joshua Brooks menambah jaringan menerusi pukulan penalti.

Gol tunggal Great Britain dijaringkan oleh Ellis Robson menerusi pukulan sudut penalti pada suku kedua permainan.

Sementara itu, India bangkit daripada tewas kepada Afrika Selatan sebelum ini apabila mudah menjinakkan pasukan Jepun 5-1.

Pasukan kendalian C.R. Kumar selesa di hadapan setelah mendapat gol awal jaringan Uttam Singh dan Rohit sebelum Jepun merapatkan kedudukan hasil jaringan kapten, Ikumi Saeki menerusi pukulan sudut penalti.

Hasrat pasukan bimbingan Hiroki Watanabe untuk bangkit tidak kesampaian setelah juara dua kali itu melebarkan kedudukan menerusi jaringan Purty Johnson, Dhami Boby Singh dan Lakra Amandeep. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya