KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Dua (SID FC) yang menggalas nama Kelantan tekad melakukan kejutan pada kejohanan Liga Tunas Malaysia (Malaysia Little League) yang bermula esok.
Ketua pasukan Khairul Faiz Nor Azhar berkata, penampilan pertama dipentas kebangsaan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh dia dan rakan-rakan sepasukan.
Menurutnya, dia dan rakan-rakan sudah sedia memperagakan aksi terbaik pada perlawanan tersebut dan akan mengikut segala perancangan taktikal yang telah diterapkan oleh ketua jurulatih.
“Kalau boleh buat kejutan dengan muncul juara pada saingan liga ini nanti,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia selepas perlawanan persahabatan antara SID FC menentang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera di Stadium Mini Kijang Emas, di sini semalam.
Pada perlawanan persahabatan berkenaan kedua-dua pasukan mempamerkan kekuatan seimbang menyaksikan ia berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Sementara itu, pengendali SID FC Muhamad Nasir Sharif memberitahu, setakat ini persediaan pasukan adalah dalam keadaan baik walaupun penyerang utama, Mohd. Norhafis Norhadi mengalami kecederaan.
Katanya, SID FC sebenarnya telah melakukan persiapan sejak dua tahun lalu untuk berdepan cabaran liga yang melibatkan sekolah-sekolah harian.
“Ini adalah edisi pertama Liga Tunas Malaysia. Sudah tentu kami bangga mewakili negeri ini dan akan memberikan yang terbaik. SID FC sebenarnya dilahirkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu.
“Pasukan ini sebenarnya sudah setaraf dengan sekolah-sekolah sukan tetapi belum berpeluang mempamerkan kebolehan,” ujarnya.
SID FC akan memulakan perjalanan pada 27 Oktober nanti untuk menyertai Liga Tunas Malaysia peringkat kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor dan pelepasan kontijen akan dilakukan di Kompleks Belia dan Sukan Panji pada jam 9 pagi. – UTUSAN ONLINE