LONDON: Pemain tengah Brighton, Enock Mwepu terpaksa bersara seawal usia 24 tahun selepas disahkan menghidap penyakit jantung keturunan.
Mwepu jatuh sakit ketika dalam penerbangan untuk menyertai skuad kebangsaan Zambia pada rehat antarabangsa bulan lalu dan kembali ke Brighton untuk menjalani ujian jantung lanjut selepas dimasukkan ke hospital di Mali.
Brighton dalam satu kenyataan semalam mendedahkan, Mwepu berdepan risiko yang sangat tinggi untuk mengalami serangan jantung sekiranya terus bermain bola sepak kompetitif.
Dalam satu kenyataan ketika mengumumkan persaraannya, Mwepu mendedahkan dia masih merancang untuk kekal dalam bola sepak dalam beberapa kapasiti selepas memendekkan karier sebagai pemain.
“Seorang budak kecil dari perbandaran Zambia bernama Chambishi mempunyai beberapa berita untuk dikongsikan.
“Dia berdiri teguh untuk mengejar impiannya bermain bola sepak di peringkat tertinggi dan dengan izin Tuhan dia merealisasikan impian dengan mencapai Liga Perdana Inggeris.
“Kadangkala, impian terpaksa dihentikan, jadi dengan rasa sedih saya mengumumkan keperluan untuk menamatkan karier sebagai pemain atas nasihat perubatan yang saya terima dengan hati terbuka.
“Ini bukan penamat penglibatan saya dalam bola sepak, saya merancang untuk terus terlibat dalam kapasiti yang lebih sedikit,” tulis Mwepu.
Sementara itu, pengerusi Brighton, Tony Bloom berkata, perkhabaran yang diterima mengenai Mwepu amat menyedihkan buat kelab.
“Dia dan keluarganya berdepan trauma sejak beberapa minggu lalu dan kami bersyukur dia berjaya melepasi tempoh sukar itu.
“Dia telah melihat kerjaya nya yang amat berpotensi dihentikan pada usia muda.
“Sebagai kelab, kami akan memberisegala kasih, bantuan dan sokongan semampunya untuk membantu Enock pulih sepenuhnya.
“Kami juga akan membantu dia untuk mengorak langkah seterusnya,” katanya. – AGENSI