SEPANG : Kejayaan skuad Bawah 16 tahun (B-16) melangkah ke pentas final Piala Asia B-17 tahun depan membuktikan Malaysia tidak ketandusan ‘ubi muda’.
Ketua jurulatih B-16 negara, Osmera Omaro berkata, apa yang dilakukan pemainnya membuktikan kualiti yang ada pada barisan pemain selain ekosistem di peringkat akar umbi yang dilihat berada di landasan tepat.
“Jelas kita tidak ketandusan bakat susulan kejayaan mara me pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 tahun depan.
“Ini kerana dalam tempoh seminggu kita berjaya mara menewaskan pasukan berkualiti seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Palestin dan Indonesia meskipun berstatus underdog.
“Situasi ini sekali gus membuktikan kita berada di landasan yang betul dengan ekosistem serta sokongan penuh daripada peringkat sekolah, ibu bapa dan program pembangunan kebangsaan (NFDP) atau di peringkat kelab itu sendiri termasuk di Akademi Mokhtar Dahari (AMd),” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebaik sahaja tiba bersama pasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA), malam tadi.
Skuad B16 tiba di KLIA dengan menaiki pesawat MH720 berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta jam 4.05 petang waktu tempat dan selamat mendarat di KLIA jam 7.25 petang.
Ketibaan pemain negara disambut ahli keluarga dan sahabat handai yang menunggu sejak jam 6.30 petang di balai ketibaan.
Malaysia dipimpin Osmera Omaro layak secara merit di pentas Piala Asia selepas bergelar juara Kumpulan B pada kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2023 selepas menang tiga perlawanan dan seri satu untuk mengumpul 10 mata.
Pencapaian terbaik skuad muda Harimau Malaya di saingan berprestij itu adalah pada edisi 2014 ketika mara ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Australia 1-2. – UTUSAN