LONDON: Legenda Arsenal, Paul Merson menjangkakan Manchester United akan mengalami kekalahan pertama dalam Liga Perdana Inggeris di Old Trafford musim ini apabila menerima kunjungan Newcastle hari ini.
Red Devils bangkit daripada kekalahan 6-3 kepada Manchester City dengan menumpaskan Everton 2-1 di Goodison Park, Isnin lepas.
Begitupun, Newcastle yang hanya ketinggalan satu mata di belakang mereka, di kedudukan keenam liga bakal menghadirkan ujian berat.
The Magpies hanya tewas sekali musim ini, membelasah Fulham 5-1 pada perlawanan terakhir dan menunjukkan kemajuan besar di bawah bimbingan Eddie Howe.

Merson percaya Cristiano Ronaldo akan diturunkan menentang Newcastle selepas meledak gol ke-700 bersama United pada pertemuan dengan Everton tetapi meramalkan pelawat boleh merampas tiga mata di Old Trafford.
“Saya suka cara Newcastle bermain ketika ini. Mereka benar-benar ‘melondehkan’ Fulham minggu lalu.
“Erik ten Hag (pengurus United) perlu menurunkan Cristiano Ronaldo kerana dia adalah penyudah terbaik di dunia. Anda tidak menjaringkan 700 gol tanpa sebab.

“Saya rasa Casemiro (pemain tengah United) memerlukan sedikit masa. Masih banyak lagi yang akan datang daripadanya. Perlawanan ini sangat berbeza dengan Everton, dan United perlu berada pada tahap terbaik,” kata Merson kepada Sportskeeda. – AGENSI