PETALING JAYA: Tamat sudah kempen Liga Perdana 2022 kelmarin bermakna tiada lagi pertandingan bola sepak ‘kelas kedua’ Malaysia itu mewarnai kalender bola sepak tempatan.
Johor Darul Ta’zim II (JDT II) muncul pasukan terakhir bergelar juara sejak Liga Perdana diperkenalkan 18 tahun lalu selepas menutup kempen dengan menumpaskan Selangor II 1-0 di Shah Alam.
Ketiadaan pertandingan yang dianggap pentas terbaik buat pemain-pemain ‘menjual’ bakat sebelum disambar untuk menyertai Liga Super kini digantikan dengan Liga Simpanan bermula tahun depan.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola bola sepak tempatan telah mewujudkan Liga Simpanan sebagai usaha penstrukturan semula Liga Malaysia 2023.
Setiap pasukan Liga Super juga akan dibenarkan untuk menyenaraikan lima (5) pemain lebih umur dalam Liga Simpanan tetapi hanya tiga (3) pemain lebih umur termasuk import (maksimum dua (2) pemain) dibenarkan beraksi di atas padang bagi menjamin minit permainan untuk sekurang-kurangnya lapan (8) pemain tempatan B-23 pada setiap masa.

Persoalan kini timbul ke mana hala tuju pemain yang tidak mendapat tempat dalam Liga Simpanan apatah lagi Liga Super melihatkan peraturan baharu diperkenalkan MFL.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Mohd. Sadek Mustaffa berkata, inilah cabaran baharu perlu dihadapi serta diharungi pemain yang tidak mendapat tempat untuk meneruskan karier sebagai pemain bola sepak.
“Suka atau tidak mereka (pemain) perlu mencari jalan keluar lain untuk membentuk kehidupan pada masa akan datang, mungkin belum terlewat pemain ini mencuba latihan-latihan kemahiran ataupun keusahawanan.
“Bersedia untuk mendalami pembelajaran sains sukan, bidang kejurulatihan atau apa sahaja supaya tidak menjadi penganggur terhormat.
“Untuk lebih maju mereka perlu berhijrah, mencuba dunia baharu kerana inilah realiti sebenar,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu turut mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan mahupun Majlis Sukan Negara (MSN) memainkan peranan penting dalam isu ini.
“Saya rasa MSN ada program pembangunan atlet dan KBS perlu memainkan peranan penting, harapan ini bukan sahaja ditujukan buat sukan bola sepak tetapi atlet-atlet lain,” katanya.
MFL menerusi Mesyuarat Luar Biasa (EGM), 20 Julai lalu memaklumkan Liga Simpanan (Reserve League) akan diperkenalkan sebagai liga yang bakal menjadi jambatan untuk memperbaiki jurang pembangunan dilihat dalam struktur liga tempatan.
Liga Simpanan ini juga bertindak sebagai landasan perantara Liga Super untuk pemain pemain mendapat minit permainan, adaptasi dan persediaan ke Liga Super.
Dengan itu, konsep Reserve Team akan berakhir dan semua pasukan Liga Super akan mempunyai pasukan bawah 23 tahun (B-23) dan ini sekali gus akan memberi daya saing lebih seimbang kepada semua pasukan.