JDT tepati ramalan ke suku akhir

JDT tepati ramalan ke suku akhir

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva merembat kencang ke arah pintu gol walaupun dihalang dua pemain pertahanan PJ City FC pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. FOTO: Raja Jaafar Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mara ke pusingan suku akhir dengan agregat 6-0 selepas menewaskan Petaling Jaya City (PJ City) 2-0 pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan yang memperoleh bekalan selesa pada perlawanan pertama tampak bersahaja melayan kunjungan pasukan lawan yang lebih terdesak memburu jaringan.

Kelebihan yang dimiliki itu bukan bermakna anak buah Hector Bidoglio tidak bernafsu memburu gol apabila setelah JDT berjaya mencipta jaringan seawal minit keempat menerusi jaringan Bergson Da Silva.

Nathaniel Shio Hong Wan bijak memintas hantaran lawan dan melorongkan bola kepada Bergson yang melepaskan rembatan deras dari jarak 30 meter menewaskan penjaga gol, Kalamullah al-Hafiz Mat Rowi yang hanya terpaku.

Gol itu nyata merentap semangat juang pasukan bimbingan P. Maniam yang cuba mencipta keajaiban untuk bangkit menewaskan JDT di gelanggang keramatnya.

Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad hampir menambah derita pasukan pelawat, namun rembatannya sekadar melewati palang gol.

PJ City tidak hanya berdiam diri turut mengatur gerakan memburu gol, namun tidak ada percubaan tepat ke arah pintu gol dapat dihasilkan.

Bersambung babak kedua, Daryl Sham berpeluang untuk melakukan percubaan ke arah gawang, namun tidak berupaya menewaskan Kalamullah al-Hafiz yang berada di posisi tepat.

PJ City berpeluang menguji kecekapan penjaga gol muda JDT, Haziq Nadzli namun sepakan bebas yang diambil R. Kogileswaran pada minit ke-59 sedikit tersasar.

Benteng ampuh JDT yang diterajui Jordi Amat dan Shahrul Saad berjaya merantai serangan pihak lawan yang mahu memburu gol sagu hati.

Biarpun sudah selesa, Bidoglio membawa masuk beberapa pemain gantian termasuk Corbin Ong dan Fernando Forestieri bagi menambah bisa untuk jentera serangan Harimau Selatan.

Forestieri tidak mengambil masa yang lama meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila menjaringkan gol menewaskan Kalamullah al-Hafiz setelah mendapat umpanan Bergson pada minit-72.

Pasukan pelawat seakan-akan hilang punca dan JDT mengambil kesempatan itu untuk mendominasi permainan namun tidak ada pertambahan gol berjaya dihasilkan.

JDT layak ke suku akhir Piala Malaysia dan akan bertemu antara pasukan Sarawak United atau Kelantan FC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.