SEREMBAN: Negeri Sembilan FC tidak ada cara lain, melainkan menjinakkan Sri Pahang di Kuantan, Sabtu ini bagi menghidupkan peluang untuk beraksi dalam Piala AFC 2023.
Ketua Jurulatih, K. Devan berkata, ketika saingan Liga Super hanya berbaki satu perlawanan, Tok Gajah adalah harapan terakhir skuad Jang untuk menempatkan diri dalam kedudukan tiga terbaik, namun semuanya turut bergantung kepada keputusan perlawanan dua lagi pesaing mereka, Sabah FC dan Terengganu FC.
Sabah yang menduduki tangga kedua liga dengan 42 mata berdepan tugas amat getir apabila menutup kempen dengan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, bertemu juara sembilan musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Itu bermakna, Terengganu FC dan Negeri Sembilan yang berkongsi 41 mata akan meraih slot ke Piala AFC jika memenangi perlawanan masing-masing, sambil berharap Sabah tersungkur di Johor.
Terengganu akan menentang pasukan yang kini dilanda kemerosotan prestasi, Kedah Darul Aman (KDA) di depan ribuan penyokong lawan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
“Kalau pasukan ini berjaya masuk ke Piala AFC, itu merupakan satu kejayaan besar untuk musim ini iaitu musim pertama kami dalam saingan Liga Super.
“Sekarang ini peluang masih ada kami akan cuba dan berusaha asalkan kami menghasilkan satu prestasi yang baik menentang Pahang dan kami menang dan tunggu keputusan pasukan lain,” katanya.
Dalam aksi Liga Super di Paroi kelmarin, Negeri Sembilan menumpaskan Melaka United 2-0 hasil jaringan Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-34 dan Gustavo Almeida Dos Santos, minit ke-86.

Sementara itu, Devan berkata, sehingga ke hari ini anak-anak buahnya telah menampilkan aksi terbaik sehingga mampu memberi cabaran di kedudukan teratas liga meskipun sasaran yang diletakkan sebelum ini adalah berada di kelompok pertengahan.
“Pemain-pemain telah membuktikan setiap kali dalam perlawanan, mereka berjaya membawa satu prestasi yang baik. Mereka juga telah membuktikan pasukan boleh pergi jauh dan saya rasa satu pencapaian yang baik,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE