Hatrik terpantas Salah ketuai amukan Liverpool di Ibrox

Hatrik terpantas Salah ketuai amukan Liverpool di Ibrox

MOHAMED Salah memulakan kebangkitan Liverpool di Anfield.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GLASGOW: Hatrik terpantas Mohamed Salah dalam sejarah Liga Juara-Juara membantu Liverpool bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah Rangers 7-1 di Ibrox hari ini, sekali gus menghampiri peringkat kalah mati.

Roberto Firmino meledak dua gol, manakala Darwin Nunez dan Harvey Elliott masing-masing turut mencetak nama sebagai penjaring.

Reds yang dibayangi kekalahan 3-2 kepada Arsenal ketika tiba di Scotland memulakan aksi dengan perlahan dan membenarkan tuan rumah menguasai permainan sebelum mendahului 1-0 menerusi Scott Arfield pada minit ke-17.

Tersentak dengan gol tersebut, Liverpool bertindak balas dan Firmino menanduk gol penyamaan, tujuh minit kemudian.

Setelah agak bergelut pada babak pertama, Liverpool tampil lebih garang sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung.

Firmino menjaringkan gol kelapannya musim ini dengan menyempurnakan hantaran lintang Joe Gomez pada minit ke-55.

Nunez mengukuhkan kedudukan Reds dengan tendangan rendah pada minit ke-60.

Salah kemudian dibawa masuk menggantikan Nunez pada minit ke-68, dan dia menunjukkan impak dengan meledak hatrik dalam tempoh enam minit.

Elliott melengkapkan pesta gol Liverpool di di minit ke-87 biarpun terpaksa menunggu video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringannya.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata, biarpun perlawanan menentang Manchester City dalam aksi Liga Perdana, Ahad ini ‘berbeza’ tetapi kemenangan di Ibrox merubah ‘mood’ Reds.

“Ia (kemenangan) pasti mengubah mood.

“Apabila kami berada di atas, kami boleh menjadi pasukan yang sangat bagus.

“Malangnya, kami tidak begitu sepanjang musim tetapi malam ini kami benar-benar membina perkara baik dari babak pertama, meneruskannya ke separuh masa kedua.

“Ia bagus tetapi kita semua tahu siapa yang kami sambut pada Ahad dan itu akan menjadi perlawanan yang berbeza tetapi ia bagus untuk menghadapi perlawanan itu dengan perasaan ini,” kata Klopp.

Keputusan itu bermakna Liverpool mengukuhkan cengkaman di tempat kedua Kumpulan A dengan sembilan mata, tiga di belakang Napoli yang mengesahkan tiket ke peringkat 16 akhir selepas mengalahkan Ajax 4-2. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN