ALOR SETAR: Biarpun sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super kesembilan berturut-turut minggu lalu, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap ‘bernafsu’ dalam baki tiga perlawanan dan mengekalkan rekod tanpa kalah menjadi motivasi utama mereka.
Kemenangan 3-1 ke atas Kedah kelmarin menyerlahkan karakter anak-anak buah Hector Bidoglio, yang kini mengharungi 19 perlawanan tanpa kalah – 15 kemenangan dan empat seri.
Menumpaskan Sang Kenari di depan 15,000 penyokong tuan rumah, malah beraksi dengan 10 pemain selepas Bergson da Silva dibuang padang pada minit ke-45 memberi amaran kepada Sri Pahang, Kedah sekali lagi (11 Oktober) dan Sabah tiada laluan mudah akan diberi kepada mereka.

“Perlawanan ini menunjukkan siapa JDT. Walaupun sudah meraih kejuaraan beberapa hari lalu, kami tetap datang ke sini untuk memberikan yang terbaik.
“Sikap, komitmen dan semangat ditampilkan semua pihak telah menunjukkan mengapa JDT menjadi juara dan merupakan kelab terbaik di Malaysia,” kata Bidoglio.
Kemenangan di Stadium Darul Aman itu juga membuktikan JDT serius untuk memburu kejuaraan treble dengan menjulang Piala Malaysia yang akan membuka tirai bulan ini.
Harimau Selatan sudahpun memiliki Piala FA serta gelaran Liga Super dalam genggaman, dan memenangi Piala Malaysia menjadi penutup musim cemerlang buat mereka.