ISKANDAR PUTERI: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamer kebangkitan sebelum menang 4-1 menewaskan Sang Kenari pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad muncul wira Harimau Selatan apabila dua jaringannya pada babak kedua membantu Harimau Selatan mengutip tiga mata, sekali gus mengheret kelab lamanya, Kedah Darul Aman (KDA) FC kalah buat kali keempat berturut-turut.
Dua jaringan Bergson da Silva pula membolehkannya mencipta rekod baharu Liga Super dengan 27 gol, mengatasi rekod milik Ifedayo Olusegun (26 gol).
Skuad bimbingan Hector Bidoglio bermula garang sebaik sahaja sepak mula, namun hantaran lintang Leandro Velazquez gagal disudahkan dengan baik oleh Bergson pada minit ketiga.
89' GOL | Bergson meledak sekali lagi untuk gol keempat JDT malam ini!@OfficialJohor 4-1 @kda_fc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/wqpSvrjoN7
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) October 11, 2022
Seminit berselang, gawang skuad kendalian Aidil Sharin Sahak hampir dibolosi, namun percubaan Akhyar Rashid yang mendapat umpanan Arif Aiman Hanapi sekadar menggegar palang gol.
Pada minit keenam, penjaga gol KDA FC, Shahril Sa’ari bijak melayangkan badan bagi menguis keluar bola rembatan Leandro menerusi sepakan bebas menuju ke penjuru kiri gol.
Leandro sekali lagi menguji kecekapan penjaga gol lawan menerusi sepakan percuma pada minit ke-23, malangnya percubaan yang dilakukan sedikit tersasar ke sebelah kanan.
Lima minit berselang, pasukan tuan rumah dinafikan peluang untuk mendapatkan sepakan penalti setelah Bergson dibentes, sebaliknya pengadil perlawanan, Hasrol Amir memberikan sepakan percuma kepada pihak lawan.
Pada minit ke-41, Wanja Ronald Ngah yang mendapat umpanan cantik Fayadh Zulkifli Amin mensia-siakan peluang terbaik skuad Hijau Kuning setelah sepakan voli yang dilakukan sedikit tersasar.
Ronald Ngah mengubati kekecewaan itu apabila meledak gol pembukaan menerusi sepakan lambung menewaskan Farizal Marlias yang terkapai-kapai pada akhir babak pertama perlawanan.
Memasuki babak kedua, Harimau Selatan dihadiahkan sepakan penalti setelah hantaran Corbin Ong ke dalam kotak penalti terkena tangan pertahanan lawan, Loqman Hakim Marzuki.
Peluang terhidang itu tidak disia-siakan Bergson yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-49, gol ke-26 dalam saingan liga musim ini.
Syafiq yang dibawa masuk menggantikan Akhyar tidak mengambil masa lama untuk mencetak gol apabila memanfaatkan hantaran silang Afiq Fazail dengan menjaringkan gol menggunakan tumit pada minit ke-63.
Lima minit berselang, Syafiq menambah jaringan berpunca daripada gerakan cantik Bergson yang bijak melepasi kawalan dua pemain pertahanan sebelum melorongkan bola kepada penyerang kebangsaan itu untuk meledak gol kedua peribadinya.
Pada babak akhir perlawanan, Bergson menambah derita pelawat apabila meledak gol keempat perlawanan memastikan JDT mempamerkan kebangkitan dengan menang bergaya 4-1 menewaskan Sang Kenari. – UTUSAN ONLINE