AMSTERDAM: Liverpool mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas tiga jaringan pantas memastikan Reds membenam Ajax 3-0 di tempat lawan, hari ini.
Anak-anak buah Jurgen Klopp memulakan aksi dengan goyah, malah meletakkan diri mereka di bawah ancaman tuan rumah, terutama percubaan Steven Berghuis yang melepasi tiang.
Begitupun, permainan Reds mula berubah selepas Mohamed Salah membuka jaringan pada minit ke-42 selepas melambung bola hantaran Jordan Henderson.
Darwin Nunez terlepas peluang terbaik untuk menggandakan kedudukan biarpun betul-betul berada di depan gawang lawan yang terbuka selepas tendangannya terkena tiang.
NUNEZ TEBUS KESILAPAN
Penyerang Uruguay itu bagaimanapun menebus kekecewaan tersebut dengan menanduk gol kedua Liverpool hanya empat minit selepas babak kedua bersambung.
Pemain remaja sensasi Harvey Elliott melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-51 selepas merembat bola dari sudut sukar.
Boss tonight, Harvey 💎🤩 pic.twitter.com/WDVFoa91DI
— Liverpool FC (@LFC) October 26, 2022
Liverpool bagaimanapun masih ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan A, Napoli dengan kedua-dua pasukan akan berentap di Anfield minggu depan.
“Kami mengharungi setengah jam yang sukar di mana Ajax melakukan banyak tekanan dan kami perlu bertahan dengan penuh semangat. Anda perlu melalui fasa-fasa ini.
“Kami menukar sistem sekali lagi sedikit kepada ‘berlian’. Kami fikir ia masuk akal kerana kami tidak mahu Darwin sentiasa berada di bahagian sayap.
“Kemudian kami menjaringkan gol yang sangat luar biasa. Separuh masa kedua, kami benar-benar bermula baik dengan menjaringkan dua gol indah.
“Kami sudah ke peringkat kalah mati dan saya tidak akan mengambil mudah perkara itu,” kata Klopp kepada BT Sport.
Kejayaan di pentas Eropah adalah respons yang amat diharapkan penyokong Reds, terutama selepas mereka mempamer aksi hambar dalam liga domestik dengan kekalahan 1-0 kepada Nottingham Forest, Sabtu lalu. – AGENSI