COPENHAGEN: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mendedahkan, dia enggan merisikokan Erling Haaland dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Copenhagen semalam kerana penyerang itu ‘terlalu letih’.
Haaland hanya memanaskan bangku simpanan dalam aksi yang menyaksikan City seri 0-0 dengan Copenhagen dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Sergio Gomez dibuang padang.
Begitupun, ketiadaan Haaland tidak menjejaskan The Citizens yang mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati selepas mengumpul 10 mata untuk mengungguli Kumpulan G.
Borussia Dortmund yang seri 1-1 dengan Sevilla dalam satu lagi perlawanan di tangga kedua dengan tujuh mata.
Haaland, 22, yang meledak 20 gol dalam 13 penampilan direhatkan bagi memastikan dia cergas untuk berdepan Liverpool dalam aksi Liga Perdana di Anfield, Ahad ini.
“Erling baru sahaja menamatkan perlawanan menentang Southampton, Sabtu lalu lalu, jadi dia sangat letih dan belum pulih dengan baik.
“Kami memutuskan untuk tidak mengambil risiko. Saya berfikir tentang tenaga. Ramai pemain letih dan perlu menjalani pemulihan,” kata Guardiola
Kata Guardiola, Haaland bukan satu-satunya pemain yang merasai kesan daripada usaha yang telah dilakukan baru-baru ini.
“Phil (Foden) juga mempunyai beberapa masalah dan Bernardo (Silva) sangat letih semalam. Pemain lain yang diturunkan dalam keadaan lebih baik berbanding mereka,” katanya.
Dalam aksi di Copenhagen semalam, jaringan Rodri dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) sebelum Gomez dibuang padang kerana melakukan kekasaran di Stadium Parken.
Riyad Mahrez juga gagal menyempurnakan sepakan penalti buat City tidak lama sebelum Gomez disingkirkan pada minit ke-30. – AGENSI