KUALA TERENGGANU: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain tidak menghalang mana-mana pemain yang mahu berhijrah ke dalam Liga Malaysia musim depan.
Menurut pengendali itu, setiap pemain berhak menentukan karier masing-masing termasuk pemain sayap lincah, Faisal Halim yang menjadi rebutan banyak pasukan.
Nafuzi menegaskan, hubungan baiknya dengan pemain sehingga membentuk pasukan mantap tidak akan menjamin tonggak Sang Penyu terus menyarung jersi hitam putih.

“Keputusan kekal atau sebaliknya terpulang kepada pemain itu kerana hanya mereka yang menentukan perkembangan karier sendiri dalam bola sepak.
“Walaupun hubungan kami rapat, masing-masing ada perancangan dan hala tuju, namun jika mereka terus bersama saya, saya cukup gembira kerana saya tahu kebolehan mereka.
“Mengenai Faisal, kena tanya dia sendiri. Sekiranya saya kekal bersama TFC musim depan tetapi dia tak nak (kekal), terserah kepada dia,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Jurulatih berusia 44 tahun itu juga menegaskan, status beliau musim depan juga masih 50-50 selagi tidak menerima hitam putih lanjutan kontrak.
“Saya belum tahu apa-apa tentang kontrak baharu dan hanya dimaklumkan yang pihak pengurusan telah selesai bermesyuarat, Selasa lalu. Jadi sehingga kini saya masih menunggu lebih perincian.
“Saya sanggup letak tepi perasaan peribadi, apa yang diutamakan adalah kempen Piala Malaysia bersama TFC dan penyokong setia yang banyak memberi sokongan moral.
“Saya bukan tawar hati, hujung musim lalu pun saya lalui situasi sama. Saya kekal bersama TFC musim ini pun atas permintaan penyokong,” katanya.

Nafuzi yang membawa Terengganu ke Piala AFC musim depan selaku naib juara Liga Super dikaitkan dengan perpindahan ke Kedah, yang sudahpun merehatkan jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Sahak.
Sementara itu, Faisal memberitahu dia kecewa menerima tawaran lanjutan sebulan sebelum kontraknya tamat.
“Apa yang boleh saya katakan, ini semua keputusan persatuan. Kita bermain sepanjang musim, takkan sebulan tamat kontrak baru nak buat keputusan, itu tak masuk akal.
“Jujur saya cakap, saya kecewa kalau terpaksa berpisah dengan jurulatih Nafuzitapi ini adalah bola sepak. Apa juga sekali pun saya perlu teruskan perjuangan,” katanya.