PETALING JAYA: Kejayaan skuad Bawah 16 tahun negara (B-16) membelasah Indonesia, 5-1 untuk melangkah bergaya ke pentas Piala Asia B-17 2023 bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Menganggap barisan pemainnya tidak bernasib baik untuk lolos awal dalam saingan kali ini, Ketua Jurulatih skuad Bawah 16 (B-16) negara, Osmera Omaro kini mampu tersenyum dengan kejayaan mara secara automatik selaku juara Kumpulan B.
“Bermula dengan aksi tidak menyakinkan bertemu Guam, pasukan merancang dengan berhati-hati untuk aksi menentang UAE dan Indonesia.
“Sebelum ini masalah utama pasukan adalah menjaringkan gol walaupun peluang demi peluang dicipta, tetapi pada malam ini (kelmarin) peluang diterjemahkan dengan jaringan.
“Taktikal kita menjadi, mengeksploitasi kelemahan-kelemahan pasukan lawan, Indonesia bermain seperti biasa bagi pandangan mata saya tetapi kita telah bersiap sedia dan pemain berjaya menterjemahkan semua yang dirancang,” ujarnya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambah Osmera, kemenangan besar berdepan Indonesia tidak mengejutkan dirinya memandangkan sudah mengetahui keupayaan barisan pemainnya.
“Tidak terkejut sebab kita tahu keupayaan pasukan saya ini, cuma sebelum ini tidak berapa bernasib baik.
“Situasi berbeza ketika kita bertemu Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini yang mana banyak peluang kita sia-siakan tetapi pemain sudah belajar daripada kesilapan lepas.
“Secara keseluruhan, saya anggap kempen pasukan pada aksi kelayakan kali ini berjaya kerana kita telah mengharungi aksi tanpa tewas pada empat perlawanan,” tegasnya.- UTUSAN