Alexander-Arnold puas tutup mulut pengkritik

Alexander-Arnold puas tutup mulut pengkritik

Trent Alexander-Arnold menyempurnakan sepakan percuma untuk meletakkan Liverpool di depan ketika menumpaskan Ranger dalam saingan Liga Juara-Juara di Anfield semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Trent Alexander-Arnold berharap jaringan cantik yang dihasilkan ketika Liverpool menumpaskan Rangers 2-0 dalam Liga Juara-Juara semalam mampu menutup mulut pengkritik.

Reds yang mengharungi musim hambar mempamer permainan menarik dengan formasi 4-2-3-1, malah Darwin Nunez akhirnya menyerlahkan potensi biarpun tiada jaringan berjaya dihasilkan.

Dalam aksi di Anfield itu, Alexander-Arnold, 23, me­nyempurnakan sepakan percuma yang menarik pada minit ketujuh ­permainan untuk meletakkan ­Liverpool di depan.

Gol kedua tuan rumah terhasil pada separuh masa kedua menerusi sepakan penalti Mohamed Salah.

MOHAMED Salah meledak gol kedua Liverpool menerusi sepakan penalti.

Reds yang menampilkan permainan bertenaga, malah mampu meledak enam atau tujuh gol, dengan sebahagian besar percubaan dilakukan Nunez tetapi ­prestasi cemerlang penjaga gawang lawan veteran, Allan McGregor, 40, menafikan jaringan mereka.

Kemenangan itu membolehkan Liverpool naik ke tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata, tiga mata di belakang Napoli yang membelasah Ajax 6-1 di Amsterdam.

“Ramai orang bercakap me­ngenai saya tetapi saya muncul dan beraksi dengan baik untuk pasukan hari ini.

“Saya melalui permulaan yang perlahan musim ini namun sekarang saya amat teruja untuk menghabiskan baki saingan.

“Kami beraksi jauh lebih baik berbanding dalam Liga Perdana Inggeris. Saya jarang menjaringkan gol dari sudut seperti itu, selalu dari arah bertentangan,” kata Alexander-Arnold.

BIARPUN tidak menjaringkan gol, Darwin Nunez (kiri) mempamer aksi cemerlang.

Persembahan Alexander-Arnold turut menarik perhatian pengendali Reds, Jurgen Klopp yang melakukan perubahan taktikal menarik dan membolehkan pasukannya tidak bolos buat pertama kali sejak 3 September.

Klopp menggunakan formasi yang jarang digunakan dengan meletakkan Nunez sebagai pe­nyerang hadapan sambil dibantu Salah, Diogo Jota serta Luis Diaz.

“Inilah yang kami perlukan. Pasukan menampilkan persembahan hebat dan kadangkala anda perlu menukar beberapa perkara,” kata Klopp.

Klopp juga membuat lima pertukaran menuju ke penghujung permainan dengan mengeluarkan Jordan Henderson, Jota, Alexander-Arnold, Nunez dan Thiago ­Alcantara sebagai persiapan untuk berdepan pendahulu Liga Perdana, Arsenal, Ahad ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya