LIVERPOOL: Trent Alexander-Arnold berharap jaringan cantik yang dihasilkan ketika Liverpool menumpaskan Rangers 2-0 dalam Liga Juara-Juara semalam mampu menutup mulut pengkritik.
Reds yang mengharungi musim hambar mempamer permainan menarik dengan formasi 4-2-3-1, malah Darwin Nunez akhirnya menyerlahkan potensi biarpun tiada jaringan berjaya dihasilkan.
Dalam aksi di Anfield itu, Alexander-Arnold, 23, menyempurnakan sepakan percuma yang menarik pada minit ketujuh permainan untuk meletakkan Liverpool di depan.
Gol kedua tuan rumah terhasil pada separuh masa kedua menerusi sepakan penalti Mohamed Salah.

Reds yang menampilkan permainan bertenaga, malah mampu meledak enam atau tujuh gol, dengan sebahagian besar percubaan dilakukan Nunez tetapi prestasi cemerlang penjaga gawang lawan veteran, Allan McGregor, 40, menafikan jaringan mereka.
Kemenangan itu membolehkan Liverpool naik ke tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata, tiga mata di belakang Napoli yang membelasah Ajax 6-1 di Amsterdam.
“Ramai orang bercakap mengenai saya tetapi saya muncul dan beraksi dengan baik untuk pasukan hari ini.
“Saya melalui permulaan yang perlahan musim ini namun sekarang saya amat teruja untuk menghabiskan baki saingan.
“Kami beraksi jauh lebih baik berbanding dalam Liga Perdana Inggeris. Saya jarang menjaringkan gol dari sudut seperti itu, selalu dari arah bertentangan,” kata Alexander-Arnold.

Persembahan Alexander-Arnold turut menarik perhatian pengendali Reds, Jurgen Klopp yang melakukan perubahan taktikal menarik dan membolehkan pasukannya tidak bolos buat pertama kali sejak 3 September.
Klopp menggunakan formasi yang jarang digunakan dengan meletakkan Nunez sebagai penyerang hadapan sambil dibantu Salah, Diogo Jota serta Luis Diaz.
“Inilah yang kami perlukan. Pasukan menampilkan persembahan hebat dan kadangkala anda perlu menukar beberapa perkara,” kata Klopp.
Klopp juga membuat lima pertukaran menuju ke penghujung permainan dengan mengeluarkan Jordan Henderson, Jota, Alexander-Arnold, Nunez dan Thiago Alcantara sebagai persiapan untuk berdepan pendahulu Liga Perdana, Arsenal, Ahad ini. – AGENSI