BARCELONA: Pengurus Barcleona, Xavi mengakui ‘jatuh cinta’ dengan Robert Lewandowski selepas penyerang Poland itu meledak hatrik ketika pasukannya membenam Viktoria Plzen 5-1 dalam aksi Kumpulan C, Liga Juara-Juara semalam.
Jaringan minit ke-34, 45 dan 67 bukan sahaja membantu Barca memulakan kempen Eropah dengan sempurna, malah membolehkan Lewandowski memahat sejarah.
Penyerang berusia 34 tahun itu muncul pemain pertama meledak hatrik Liga Juara-Juara bersama tiga pasukan berbeza – Barcelona, Bayern Munich dan Borussia Dortmund.
“Hatrik Lewandowski hari ini. Dia bukan sahaja bermain untuk dirinya, dia membuatkan kami bermain sebagai satu pasukan. Saya seperti jatuh cinta kepadanya. Pembelian yang sangat hebat,” kata Xavi.
Xavi berharap gol Lewandowski akan terus ‘mengalir seperti air’ kerana cabaran di pentas Eropah amat sukar.
Prestasi baik Lewandowski membolehkannya mengharungi aksi pemanas badan terbaik sebelum berdepan bekas pasukannya, Bayern Munich minggu depan. Bayern turut bermula langkah kanan apabila menumpaskan Inter Milan 2-0 di San Siro semalam.
Terdahulu, tandukan Franck Kessie meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-13 dan satu lagi jaringan disempurnakan oleh Ferran Torres. – AGENSI