PETALING JAYA: Tiada perubahan berlaku dalam senarai 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan Harimau Malaya sebagai persiapan untuk bersaing pada kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai minggu depan.
Itu kenyataan dinyatakan Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas kesemua pemain yang dipanggil sudah mengesahkan kehadiran untuk bersama pasukan.
“Seramai 24 pemain telah melaporkan diri pada kem latihan pusat dengan 23 pemain menyertai sesi latihan pertama yang diadakan Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi.
“Dijangka semua pemain yang dipanggil akan kekal tanpa perubahan. Hanya dua pemain yang tidak berada pada sesi latihan pertama iaitu Shahrul Saad yang tidak sihat tetapi sudah melaporkan diri bersama pasukan pagi tadi.
“Kemudian, Dion Cools pula hanya akan bersama pasukan pada sesi latihan di Thailand nanti,” katanya ketika ditemui media di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.
Aksi antarabangsa kali ini bakal menjadi ujian pemanas badan pertama buat Pan-gon dalam usaha memantapkan pasukan bagi mengharungi kejohanan Piala AFF 2022 pada Disember dan Piala Asia 2023 tahun depan.
Menanti Harimau Malaya pada perlawanan pertama pada 22 September adalah tuan rumah, Thailand di Stadium 700th Anniversary manakala Trinidad & Tobago akan menentang Tajikistan di venue dan hari yang sama. – UTUSAN ONLINE