PETALING JAYA: Mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu, pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan menyediakan pelan terbaik jika final Piala FA, Sabtu ini berlangsung dalam hujan.
Selain menyediakan peralatan lebih sesuai untuk mengeluarkan air hujan yang bertakung, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga mungkin menggunakan penutup padang seperti kanvas bagi ‘melindungi’ permukaan padang.
Pada kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini, PSM dikecam teruk apabila permukaan padang disifatkan tidak ubah seperti bendang selepas persekitaran Bukit Jalil dilanda hujan lebat.
Lebih teruk lagi apabila petugas stadium dirakam menggunakan penyodok sampah dan kadbod untuk mengeluarkan air bertakung, sekali gus ramai yang mempersoalkan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memilih stadium berkenaan sebagai venue final Piala FA di antara Terengganu FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Faidz Sanusi berkata, cadangan menggunakan kanvas akan dipertimbangkan dan dibincangkan bersama MFL.
“Mungkin boleh dibincangkan. Sekarang untuk berlaku sesuatu (pembelian kanvas) ia perlu dibincangkan terlebih dahulu memandangkan PSM adalah agensi kerajaan.
“Daripada segi perbelanjaan, PSM perlu teliti untuk sediakan benda berdasarkan keperluan sedia ada, dengan kewangan dan peruntukan yang ada digunakan untuk penambahbaikan tandas dan keperluan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penggunaan kanvas pernah disuarakan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas padang SNBJ dikecam hebat pada kelayakan Piala Asia 2023.
Tunku Ismail menyarankan PSM menggunakan penutup padang jika membina sistem perparitan terlalu mahal.
“Final kali ini hanya satu perlawanan, berbeza ketika kejohanan sebelum ini yang menyaksikan dua perlawanan dalam tempoh sehari.
“PSM sudah jalankan kerja tambah baik dan kerja penjagaan rumput dipertingkatkan lagi untuk menghadapi final Piala FA.
“Seperti saya katakan dulu, kalau diberikan waktu tertentu, air akan surut kerana sistem perparitan masih berfungsi,” katanya.