fbpx

Tiada lagi ‘DNA’ Jerman buat Selangor

PETALING JAYA: Pemilihan Dennis Bekking sebagai Pengarah Teknikal baharu Selangor FC bermakna ‘DNA Jerman’ akan ‘dilupuskan’ oleh Red Giants.

Empat tahun projek ‘DNA’ Jerman Selangor yang ditunjangi oleh pengarah teknikal iaitu Michael Feichtenbeiner ini nyata tidak membawa sebarang hasil atau trofi.

Situasi itu nyata membangkitan api kemarahan peminat Merah Kuning namun pelantikan Bekking membuktikan Selangor mahu melupakan terus DNA Jerman dan kembali membina asas yang kukuh untuk masa hadapan.

Bekking, 42, merupakan bekas Pengarah Akademi Twente FC, Belanda dan juga pemegang Ijazah Sarjana Kepimpinan Sukan dari Universiti Salford di Manchester.

Beliau telah menyandang beberapa jawatan sepanjang kerjaya kejurulatihan profesionalnya bermula di PEC Zwolle, sebagai ketua jurulatih untuk beberapa peringkat umur sebelum menjadi ketua pembangunan belia dan ketua pencarian bakat.

Pada 2019, beliau menyertai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Malaysia sebagai Pengarah Akademi.

“Pengalaman luas beliau di Belanda sebagai Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal serta pemahaman yang baik tentang bola sepak Malaysia sejak beliau menjadi Pengarah AMD akan membantu beliau memperkenalkan dan mengintegrasikan kaedah bola sepak moden kepada jurulatih kami dan seterusnya membangunkan sistem pembangunan bakat di Selangor FC.

“Semangat, komitmen dan personaliti beliau pasti akan membawa perubahan positif dalam mewujudkan budaya dan persekitaran berprestasi tinggi di kalangan pasukan pembangunan Selangor FC,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr. Johan Kamal Hamidon.

Bekas Pengarah Akademi FC Twente ini akan bertanggungjawab ke atas hal-hal teknikal yang melibatkan pasukan pembangunan termasuk Selangor B-23 (bawah 23), Selangor B-20, Selangor B-18, dan pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Selangor.

Selain itu, beliau juga akan bertanggungjawab untuk membangunkan falsafah bola sepak kelab, mengukuhkan jabatan
sains sukan, menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan dan pembangunan bakat muda.

DENNIS Bekking akan bekerjasama dengan Tan Cheng Hoe (kanan) yang baru dilantik sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC.

“Selangor FC telah berjaya mengenal pasti dan merekrut ramai bakat muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ianya tidak berhenti di sini.

“Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini ianya telah menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari B-18 hingga ke pasukan utama.

“Saya bersedia untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan
kakitangan di Selangor FC,” ujar Bekking yang akan memulakan tugasnya secara rasmi bermula pada 1 Januari 2023. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN