The Batik Boys suntik semangat juang Penyu

The Batik Boys suntik semangat juang Penyu

PENYOKONG Terengganu FC yang akan membawa semangat ‘Ganu Kita’ ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok diperkenalkan dalam majlis di Permint Jaya, Chendering, Terengganu semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Gelagat sekumpulan penonton berpakaian tradisional ketika hadir di stadium memberi sokongan kepada Terengganu FC (TFC) sentiasa mencuri perhatian.

Terkenal dengan gelaran The Batik Boys, tradisi itu akan diteruskan perlawanan akhir Piala FA menemukan TFC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (TFC), Mohd. Isa Che Arifin, berkata, lebih 30 penyokong ‘The Batik Boys’ akan turun sebagai pemain ke-12 TFC.

Menurut Mohd. Isa, keunikan cara memberi sokongan itu merupakan identiti kelab penyokong berkenaan yang tidak pernah ketinggalan turut serta di belakang TFC terutama di pentas final.

“Selain berpakaian kain batik, kami juga mengenakan terendak iaitu penutup kepala yang lazimnya dipakai golo­ngan nelayan dan diperbuat dari­pada rotan serta dicat warna hitam dan putih.

“Sebanyak 10 helai kain ren­tang turut disediakan dengan kata-kata semangat bagi mengiringi perjuangan TFC dan kami membe­lanjakan ham­pir RM1,000 untuk mela­kukan persiapan ini.

“Dijangka 100 buah bas terdiri daripada pelbagai kelab penyokong di semua daerah akan menyerbu SNBJ,” katanya pada majlis ringkas bersama rakan penaja, GLE Centre Enterprise semalam.

Salah seorang penyokong, Muhammad Asraf Mohd. Ariffin, berkata, cara ‘The Batik Boys’ memberi sokongan sudah menjadi kebiasaan setiap kali TFC beraksi di laman sendiri.

Katanya, barisan pemain TFC diharap dapat membalas sokongan diberikan penyokong setia dengan persembahan serupa sang juara untuk membawa pulang Piala FA ke bumi Darul Iman.

“Pelbagai cara dilakukan penyokong untuk menunjukkan sokongan dan semoga usaha dan doa kami dapat menyuntik semangat kepada pasukan kesayangan TFC,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN